Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin memakai persalinan kebaya negeri Selangor yang diperbuat daripada fabrik Tenun Pahang Diraja. FOTO IHSAN SELANGOR ROYAL OFFICE
Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin memakai persalinan kebaya negeri Selangor yang diperbuat daripada fabrik Tenun Pahang Diraja. FOTO IHSAN SELANGOR ROYAL OFFICE
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan memakai persalinan kebaya negeri Selangor diperbuat daripada fabrik Tenun Pahang Diraja.

Menurut Selangor Royal Office, kebaya negeri Selangor yang dipakai Tengku Permaisuri Norashikin

itu kurniaan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

"Persalinan yang direka oleh Datuk Radzuan Radziwill itu dipakai oleh Tengku Permaisuri Norashikin semasa Istiadat Pengurniaan Darjah dan Bintang Kebesaran Negeri Selangor Darul Ehsan sempena menyambut Ulang Tahun Hari Keputeraan DYMM Sultan Selangor ke-75 pada 27 November lalu.

"Keistimewaan fabrik ini, ia ditelepuk Emas dengan corak Bunga Tanjong Pecah Sembilan sebagai simbolik kepada sembilan daerah dan jajahan dalam negeri Selangor," katanya dalam kenyataan hari ini.

Untuk rekod katanya, seni tradisional menghias kain Telepuk ini dipercayai dibawa masuk oleh pedagang-pedagang Bugis dari Sulawesi.

"Ia membabitkan proses menekap motif menggunakan cop ukiran kayu yang bergam ke atas kain tenun benang halus yang kemudiannya dilekapkan dengan kertas emas atau perada (serbuk emas atau perak).

"Menurut sejarah, seni Telepuk dengan tata hias emas ini dimiliki dan dipelihara oleh pihak istana dan pemakaiannya dikhaskan untuk keluarga diraja dan golongan bangsawan seperti di negara

China, India, Jepun dan Indonesia.

"Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Selangor (PADAT) kini sedang giat mengembangkan seni Telepuk untuk diteruskan oleh generasi akan datang sebagai antara usaha mengekalkan warisan kraf tradisional," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Disember 2021 @ 5:21 PM