SULTANAH Nur Zahirah  (lima dari kiri) bersama Najib dan Rosmah pada  pertunjukan fesyen  ‘Enchanting Elegance’ (Keanggunan yang Mempesonakan) di Milan.
SULTANAH Nur Zahirah (lima dari kiri) bersama Najib dan Rosmah pada pertunjukan fesyen ‘Enchanting Elegance’ (Keanggunan yang Mempesonakan) di Milan.

Milan: Reka bentuk songket dan batik Malaysia yang halus seni tenunan dan rekaannya mencuri perhatian ramai dalam satu pertunjukan di bandar raya fesyen Milan, kelmarin.

Lima pereka fesyen Malaysia Datuk Radzuan Radziwill, Bon Zainal, Hazree Wahid, Carven Ong, Jantinque dan Qudyn mempamerkan keindahan koleksi musim bunga/ musim panas 2016 mereka dalam pertunjukan fesyen ‘Enchanting Elegance’ (Keanggunan yang Mempesonakan).

Mereka antara 17 pereka fesyen Malaysia yang mengambil bahagian dalam misi pemasaran lima hari secara khusus bagi sektor kreatif dan seni reka sempena dengan Ekspo Milano 2015, di sini.

Ekspo bermula pada Jumaat anjuran Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dan Tourism Malaysia bagi mempromosi hasil kerja kreatif pereka Malaysia melalui fesyen, kasut dan tas tangan daripada fesyen mewah dan sedia dipakai.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor ketika merasmikan pertunjukan fesyen itu berkata, Fesyen Malaysia - Keanggunan Mempesonakan adalah bagi mempamerkan warisan dan tekstil unik Malaysia dalam fesyen.

“Kami gembira berkongsi dengan anda kreativiti Malaysia dalam pengadunan tradisi dengan konsep dan teknik moden melalui reka bentuk menggunakan fabrik unik batik dan songket Malaysia,” katanya.

Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah yang juga penaung Yayasan Tuanku Nur Zahirah sebuah pertubuhan bagi mencergaskan semula industri tenunan songket, bekerjasama dengan Radzuan dalam pertunjukan fesyen, menyempurnakan acara itu.

Turut hadir, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Raja Puan Besar Perak Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah. - BERNAMA.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Oktober 2015 @ 6:07 AM