Peralatan memproses dan arak tiruan yang dirampas bernilai RM241,000 dalam serbuan di sebuah premis di kawasan Skudai. FOTO IHSAN POLIS
Peralatan memproses dan arak tiruan yang dirampas bernilai RM241,000 dalam serbuan di sebuah premis di kawasan Skudai. FOTO IHSAN POLIS
Omar Ahmad


Johor Bahru: Polis Johor merampas peralatan dan arak tiruan bernilai RM241,000 dalam satu serbuan ke atas sebuah premis, di kawasan Skudai di sini, kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner M Kumar berkata dalam serbuan jam 10.30 malam oleh Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 2 itu pihaknya turut menahan seorang lelaki berusia 35 tahun.

Katanya premis itu dijadikan tempat penyimpanan dan proses minuman arak tiruan.

"Lelaki tempatan yang ditahan bertindak sebagai transporter, dan dipercayai kegiatan memproses dan menjual arak tiruan beroperasi lebih sebulan.

"Turut dirampas dalam serbuan itu adalah peralatan memproses minuman keras tiruan, "katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, suspek direman selama 14 hari bermula semalam hingga 24 Julai depan bagi membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 dan seksyen 76 Akta Eksais 1976 kerana menjual minuman keras yang memabukkan dengan cara melainkan mengikut sesuatu lesen yang dikeluarkan.

"Masyarakat dinasihatkan agar tidak membeli atau meminum arak tiruan dan diminta bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi menangani isu arak tiruan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Julai 2023 @ 11:02 AM