Dua lelaki tempatan ditahan bersama rampasan rokok seludup dan arak tiruan di Jalan Prima 5/7, Taman Nusantara Prima, Iskandar Puteri. FOTO IHSAN PGA
Dua lelaki tempatan ditahan bersama rampasan rokok seludup dan arak tiruan di Jalan Prima 5/7, Taman Nusantara Prima, Iskandar Puteri. FOTO IHSAN PGA
Oleh Nurul Amanina Suhaini


Iskandar Puteri: Kegiatan haram di sebuah premis di Jalan Prima 5/7, Taman Nusantara Prima di sini, yang menjadi stor simpanan rokok seludup dan pemprosesan arak tiruan terbongkar semalam hasil serbuan Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA).

Dalam serbuan jam 5 petang itu turut menahan dua lelaki tempatan ditahan bersama rampasan rokok seludup dan arak tiruan bernilai RM172,521.97.

Pegawai Pemerintah Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA), Superintendan Dimin Awang berkata, premis berkenaan disyaki sebagai stor penyimpanan sementara rokok seludup dan tempat pemprosesan arak tiruan sebelum diedarkan di pasaran sekitar daerah ini.

"Siasatan awal mendapati wujudnya penggunaan metanol dalam arak tiruan yang diproses berikutan harga relatifnya lebih murah, namun kesan sampingannya berbahaya kepada kesihatan.

"Kedua-dua suspek berusia 24 dan 45 tahun ditahan, selain rampasan 530 karton rokok seludup tidak cukai pelbagai jenama, 33 botol arak tiruan, peralatan memproses arak tiruan dan dua kereta Perodua Alza dengan keseluruhan nilai rampasan RM262,521.97.

"Tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri dan kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 75 Akta Eksais 1976 iaitu kesalahan membuat, memproses arak dan memiliki peralatan membuat arak," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, orang ramai boleh menyalurkan maklumat kepada polis bagi mengekang lambakan barangan kontraban serta kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) di jalan yang tidak diwartakan menerusi talian hotline 07-7557280 iaitu Pejabat Risik/Gerakan Batalion 5 PGA.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 September 2021 @ 7:08 PM