Irwan Shafrizan Ismail


JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sudah mencadangkan pindaan kepada Akta Kastam 1967 bagi menaikkan denda, minimum RM100,000 dan sebatan terhadap mereka yang menjual arak dan rokok seludup.

Ketua Pengarah JKDM, Datuk Seri T Subromaniam, berkata cadangan pindaanitu sudah dimaklumkan kepada kerajaan dan menunggu untuk dibentangkan ke Parlimen.

"Apa yang kita sudah cadangkan kepada kerajaan adalah satu jumlah (penalti) yang berat iaitu minimum RM100,000, walaupun premis itu menjual hanya satu karton rokok atau sebotol arak seludup.

"Kita juga mengesyorkan supaya sebatan turut dikenakan kepada pesalah.

"Sekiranya pindaan ini diluluskan, kita percaya mampu mengawal kegiatan premis yang menjual rokok dan arak haram atau tiruan ini, bagi mereka yang terbabit, hentikanlah kegiatan," katanya pada sidang media di Sepang, hari ini.

Pada tahun lalu, JKDM sudah mencadangkan pindaan kepada Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967, yang mana individu memiliki, menyimpan, mengangkut, menghantar, mengedar, menyorok dan menjual rokok atau minuman keras seludup boleh dikenakan denda tidak kurang RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun.

Ketika ini, mereka yang didapati bersalah menjual dan memiliki rokok seludup mengikut seksyen sama hanya dikenakan hukuman denda maksimum 20 kali nilai barang atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

Bagaimanapun tiada perkembangan lanjut bagi pindaan akta berkenaan berikutan terdapat bantahan oleh sesetengah pihak termasuk badan bukan kerajaan selain perubahan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14.

Difahamkan JKDM sekali lagi mencadangkan pindaan akta berkenaan kali ini termasuk susulan kes keracunan arak yang mengorbankan puluhan nyawa baru-baru ini.

Dalam pada itu Subromaniam berkata, JKDM sudah menggempur 1,063 premis menjual arak di sekitar Lembah Klang sejak 21 September lalu susulan kes keracunan arak berkenaan.

Katanya, hasil serbuan membawa kepada rampasan 17,374 liter minuman keras.

"Ia membabitkan nilai anggaran RM40,571 dan jumlah cukai sebanyak RM168,375. Dalam aperasi ini juga seramai 129 orang ditahan bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 20(1) Akta Eksais 1976," katanya.

Selain itu, beliau berkata, pihaknya juga berjaya menumpaskan satu sindiket pemprosesan arak tiruan dalam serbuan di sebuah premis kilang di Cheras, Kuala Lumpur, Jumaat lalu.

"Hasil pemeriksaan mendapati premis itu menjadi tempat memproses arak tiruan pelbagai jenama berdasarkan penemuan botol dan pelekat, alat pembotolan arak serta bahan memproses arak tiruan.

"JKDM menahan lelaki berusia 60 tahun yang disyaki terbabit dalam sindiket ini. Kami turut menemui 650 liter minuman keras yang dipercayai adalah barang tak berkastam yang nilai dan cukainya dianggarkan sebanyak RM10,000," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Oktober 2018 @ 1:15 AM
T Subromaniam bersama Timbalan Ketua Pengarah (Penguatkuasaan dan Pematuhan) Datuk Seri Zulkifli Yahya (tiga kanan) dan Penolong Ketua Pengarah Kastam Bahagian Penguatkuasaan Ibu Pejabat, Datuk Azimah Abd Hamid (kanan) menunjukkan arak tiruan yang dirampas. FOTO Mohd Fadli Hamzah
T Subromaniam bersama Timbalan Ketua Pengarah (Penguatkuasaan dan Pematuhan) Datuk Seri Zulkifli Yahya (tiga kanan) dan Penolong Ketua Pengarah Kastam Bahagian Penguatkuasaan Ibu Pejabat, Datuk Azimah Abd Hamid (kanan) menunjukkan arak tiruan yang dirampas. FOTO Mohd Fadli Hamzah