Nur Izzati Mohamad


Bukit Mertajam: Serbuan penguat kuasa di kedai runcit di Taman Pulasan, Bukit Minyak, di sini membongkar kegiatan memproses arak tiruan disyaki mengandungi metanol di dalam stor tidak jauh daripada premis berkenaan.

Serbuan dilakukan 8 malam tadi membabitkan penguat kuasa Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) dengan kerjasama polis dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Seberang Perai Tengah.

Ketua Unit Penguatkuasaan BKKM JKNPP Mohd Wazir Khalid berkata, sebelum ini pihaknya menerima aduan mengenai kegiatan penjualan arak kepada warga asing di premis itu dan terdapat kematian dan kes keracunan arak yang dilapor di kawasan Seberang Perai Tengah.

Katanya, risikan turut dilakukan sejak sebulan lalu termasuk anggota menyamar sebagai pembeli arak untuk mengesahkan sama ada berlaku aktiviti penjualan minuman berkenaan.

"Ketika serbuan, terdapat wanita warga asing dipercayai isteri pemilik premis (warga tempatan) yang enggan memberi kerjasama, bahkan tidak mengaku menjual mahupun memproses arak tiruan.

"Namun, kita sangsi selepas menemui banyak botol kosong yang dikitar semula di premis itu yang berbau seperti tuak (arak tiruan).

"Pemeriksaan lanjut membawa kepada siasatan di rumah tidak jauh dari kedai terbabit yang mana kita berhasil menemui stor kecil yang dijadikan lokasi memproses arak," katanya ditemui selepas operasi itu, semalam.

Mohd Wazir berkata, pihaknya merampas satu botol berisi lima liter cecair yang akan dihantar ke Jabatan Kimia bagi tujuan analisis sama ada metanol atau bahan lain yang menyebabkan keracunan.

Menurutnya, ketika serbuan itu terdapat tiga kanak-kanak di dalam rumah yang didapati tidak sesuai untuk membesar dalam persekitaran berkenaan.

"Hal ini kita akan panjangkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan lanjut.

"Pada masa sama, kita mengeluarkan dua kompaun bernilai lebih RM6,000 ke atas kedai runcit itu atas kesalahan menjual minuman tanpa pelabelan dan memproses arak tanpa kebenaran," katanya.

MOHD Wazir memeriksa stor yang dijadikan tempat memproses arak tiruan sebelum dijual di kedai rumah di Taman Pulasan, Bukit Minyak. FOTO Danial Saad.
MOHD Wazir memeriksa stor yang dijadikan tempat memproses arak tiruan sebelum dijual di kedai rumah di Taman Pulasan, Bukit Minyak. FOTO Danial Saad.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Oktober 2021 @ 8:52 AM