BATANG besi dipercayai digunakan tiga pembuli jalanan ketika menyerang seorang mangsa di Kangkar Pulai. FOTO Ihsan PDRM
BATANG besi dipercayai digunakan tiga pembuli jalanan ketika menyerang seorang mangsa di Kangkar Pulai. FOTO Ihsan PDRM
Mary Victoria Dass

Iskandar Puteri: Tiga samseng jalan raya ditahan di Bandar Selesa Jaya, Taman Setia Tropika dan Kangkar Pulai di sini, semalam selepas terbabit dalam kes himpit kereta serta 'hentak' seorang lelaki dengan besi hingga mangsa cedera di kepala.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, pada 10.15 pagi semalam, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berkaitan satu kes pergaduhan.

"Hasil siasatan awal, kereta dipandu seorang lelaki berusia 37 tahun didakwa dihimpit serta diekori rapat oleh sebuah kereta yang dinaiki tiga suspek selama kira-kira 10 minit ketika dia dalam perjalanan ke rumah abangnya.

"Apabila mangsa tiba di hadapan rumah abangnya, ketiga-tiga suspek turun dari kereta serta menolak mangsa hingga terjatuh sebelum berlaku kekecohan," katanya hari ini.

Menurut beliau, seorang daripada suspek mengeluarkan batang besi daripada kereta sebelum memukul mangsa di kepala.

Akibatnya, mangsa luka di kiri kepala dan belakang telinga. Abang mangsa berusia 42 tahun juga dipukul suspek dengan tangan namun tidak cedera.

Kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru untuk rawatan.

"Semakan ke atas nombor pendaftaran kereta dinaiki suspek mendapati ia milik seorang wanita yang juga teman wanita kepada seorang daripada suspek terbabit.

"Kesemua suspek ditahan di Bandar Selesa Jaya dan Kangkar Pulai antara jam 2.50 petang hingga 5.45 petang semalam," katanya.

Suspek berusia 27 hingga 32 tahun dengan seorang daripadanya memiliki dua rekod jenayah lampau. Mereka direman hingga 8 Julai ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

"Suspek mengatakan kereta mereka dilanggar mangsa namun siasatan lanjut masih dijalankan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Julai 2023 @ 1:34 PM