Foto hiasan NSTP
Foto hiasan NSTP
Faizul Azlan Razak

Kuala Terengganu: Peniaga tidak menolak ada berlaku kenaikan harga ikan dan ayam menjelang musim perayaan.

Begitupun, tinjauan barangan basah di pasar Cabang Tiga di sini, mendapati tiada sebarang kenaikan harga yang berlaku sebaliknya ia masih pada tahap stabil.

Cuma, peniaga bimbang kenaikan harga ayam dan ikan akan berlaku beberapa hari sebelum Aidiladha pada Khamis ini.

Peniaga ayam, Waliridzuan Abdul Manan, 33, berkata, setakat ini tiada kenaikan harga berlaku, malah bekalan juga mencukupi.

Dia yang tinggal di Kampung Durian Burung di sini, berkata, kali terakhir kenaikan harga berlaku pada awal Ramadan lalu.

"Kali terakhir naik awal Ramadan lalu, itupun naik 50 sen. Setakat ini, kita belum dengar lagi berlaku kenaikan harga dan harga yang dijual sekarang pun masih stabil antara RM10 hingga RM10.50 sekilogram (kg).

"Tapi, mengikut pengalamannya kebiasaan kenaikan akan berlaku apabila tiba musim perayaan dan kita tidak tahu pihak mana yang menaikkan," katanya yang ditemui di sini, hari ini.

Seorang peniaga ikan, Zakaria Abdullah, 38, berkata, ikan selayang mencatatkan sedikit penurunan, manakala harga beberapa jenis ikan seperti kembung, tongkol dan kerisi stabil.

Menurutnya, minggu lalu harga ikan selayang dijual dengan harga RM14 hingga RM16 kg berbanding RM12 hingga RM14 kg pada minggu ini.

"Buat masa sekarang, dari segi bekalan atau harga masih lagi pada tahap stabil. Cuma, saya bimbang dekat-dekat hari raya (Aidiladha) nanti, berlaku kenaikan harga.

"Biasanya, kenaikan berlaku disebabkan bekalan ikan dari luar negeri ini akan berkurang apabila lori yang menghantar barangan tidak dibenarkan beroperasi.

"Justeru, kita berharap jika berlaku kenaikan ia tidak membebankan bukan saja peniaga, malah pengguna," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Jun 2023 @ 12:32 PM