FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Berang: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bekerjasama rapat dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) dalam memastikan kestabilan bekalan dan harga ikan di pasaran terutama menjelang musim monsun yang dijangka memberi kesan kepada bekalan ikan.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid berkata, kedua-dua pihak mula menggerakkan usaha bagi menghadapi jangkaan itu seperti meningkatkan bekalan ikan segar beku atau Q-Fish di pasaran untuk memenuhi permintaan pengguna.

Beliau berkata, peningkatan bekalan Q-Fish di pasaran dijangka mula dilaksanakan di Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Besut, Terengganu.

"Pihak kita ada menerima aduan mengenai kenaikan harga beberapa jenis ikan seperti selayang dan kembung dan ia kini dalam pemantauan dan tindakan penguat kuasa kementerian.

"Kenaikan harga lazimnya berpunca daripada beberapa faktor yang saling berkait rapat seperti perubahan cuaca yang boleh mengganggu kestabilan bekalan, kesegaran ikan serta jenis atau saiz ikan.

"Selain itu, pembukaan lebih banyak sektor ekonomi dan pelancongan membolehkan lebih banyak kedai dan restoran dibuka serta hotel dan penginapan beroperasi sekali gus meningkatkan kadar permintaan bekalan bahan basah," katanya.

Rosol berkata, perbincangan bersama Mafi sedang dijalankan untuk menyelesaikan isu ini dan diharapkan ia dapat diselesaikan dalam masa yang terdekat supaya tidak membebankan pengguna.

"Kualiti ikan segar beku ini sama seperti ikan segar yang berada di pasaran dan ini antara alternatif kita untuk mengatasi kekurangan bekalan ikan segar," katanya ketika melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Akademi Binaan Malaysia Jenagor di Hulu Terengganu di sini, hari ini.

Mengulas mengenai situasi semasa harga telur yang didakwa kembali mengalami kenaikan khususnya di Terengganu, Rosol berkata, hasil pemantauan dan pemeriksaan penguat kuasa serta data Bahagian Harga Barang Negara KPDNHEP mendapati harga telur ayam di pasaran stabil.

Bagaimanapun, katanya, mungkin berlaku kenaikan harga telur di beberapa lokasi namun pada kadar minimum.

"Sepanjang Ops Pasar 2021 (Telur Ayam) dijalankan pada Ogos lalu, sebanyak 136 Notis Pengesahan Maklumat Harga Barang dikemukakan kepada peniaga di seluruh negara.

"Hasil pemeriksaan dan siasatan, tiga kes dikesan melakukan kesalahan mencatut mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 September 2021 @ 4:56 PM