GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Faizul Azlan Razak


Kuala Terengganu: Biarpun musim Monsun Timur Laut (MTL) belum tiba namun harga beberapa jenis ikan sudah mula naik mendadak sejak awal minggu ini.

Tinjauan di Pasar Cabang Tiga, di sini, mendapati kalangan peniaga mendakwa ikan kembung dan ikan selar naik mencecah RM20 sekilogram (kg) berbanding RM15 sekilogram sebelum ini.

Seorang peniaga, Abdul Rahman Ali, 44, berkata, harga ikan kerisi dijual RM18 sekilogram berbanding RM13 hingga RM14 kg bergantung pada saiz tiga hari lalu.

Menurutnya, dia bukan sesuka hati menaikkan harga ikan sebaliknya memperolehi bekalan pada harga tinggi daripada pembekal.

"Sebelum ini ikan selayang dijual antara RM6 hingga RM7 sekilogram, namun hari ini (semalam) naik kepada RM10 sekilogram.

"Harga sotong juga berlaku kenaikan daripada RM32 kepada RM38 sekilogram. Bagaimanapun, ikan aya masih lagi stabil antara RM8 hingga RM10 sekilogram.

"Kenaikan harga ikan berlaku berikutan kita menghampiri musim Monsun Timur Laut (MTL) dan bekalan ikan semakin berkurang," katanya yang ditemui di pasar tadi.

Abdul Rahman berkata, ikan yang diperoleh juga adalah ikan segar dan bersaiz besar manakala harga yang dijual juga mengikut saiz.

Seorang lagi peniaga ikan, Zakaria Abdullah, 40, berkata, berlaku kenaikan harga ikan berpunca kekurangan bekalan.

Menurutnya, peniaga menjangkakan akan berlaku kemasukan ikan sejuk beku diimport dari negara jiran selepas nelayan tempatan tidak dapat turun ke laut.

"Apabila tibanya MTL, kebanyakan nelayan bot-bot kecil tidak dapat ke laut menangkap ikan sekaligus berlaku kekurangan bekalan ikan.

"Kami sudah pun merasai kenaikan harga ikan daripada pembekal mulai minggu ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 November 2023 @ 2:46 PM