Reuters

Kuala Lumpur: Malaysia sedang mempertimbangkan peraturan yang akan menjadikan gergasi internet Alphabet Inc, syarikat induk Google dan Meta Platform yang mengendalikan Facebook untuk memberi pampasan kepada saluran berita untuk kandungan yang diperoleh daripada mereka.

Malaysia sedang berbincang dengan Google, Meta dan platform dalam talian utama lain berhubung rangka kerja kawal selia, kata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam satu kenyataan selepas bertemu dengan pegawai kedua-dua syarikat.

Peraturan yang dicadangkan akan serupa dengan peraturan di Australia, yang pada 2021 mewajibkan Google dan Meta membayar pampasan kepada saluran media untuk kandungan yang menjana klik dan pengiklanan, kata SKMM.

SKMM juga sedang mempertimbangkan peraturan yang serupa dengan Rang Undang-undang C-11 Kanada, yang bertujuan untuk mengawal selia platform penstriman dan memerlukannya untuk menyokong kandungan Kanada.

Ia berkata peraturan itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk menangani 'ketidakseimbangan' dalam pendapatan untuk platform digital dan media tempatan, serta untuk memastikan 'pampasan yang adil untuk pencipta kandungan berita.'

SKMM berkata ia juga sedang berbincang dengan platform media sosial untuk menangani kemudaratan dalam talian seperti bahan penderaan seks kanak-kanak, perjudian dalam talian dan penipuan kewangan.

Malaysia telah meningkatkan penelitian terhadap kandungan dalam talian di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang berkuasa pada November tahun lalu.

Awal tahun ini, Malaysia berkata ia akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Meta kerana gagal bertindak terhadap kandungan berbahaya di platform Facebooknya, tetapi kemudiannya menggugurkan rancangan itu selepas pertemuan dengan syarikat itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 September 2023 @ 3:52 PM