Nabilah menerima bantuan universiti itu menerusi Yayasan Tun Canselor UTeM di bawah tajaan pakej Anak Emas UTeM bagi kategori pelajar susah dan mempunyai latar pendidikan cemerlang. FOTO IHSAN UTeM
Nabilah menerima bantuan universiti itu menerusi Yayasan Tun Canselor UTeM di bawah tajaan pakej Anak Emas UTeM bagi kategori pelajar susah dan mempunyai latar pendidikan cemerlang. FOTO IHSAN UTeM
BERNAMA

Melaka: Nasib pelajar cemerlang, Nabilah Zainuddin yang berdepan kesulitan untuk melanjutkan pelajaran disebabkan kesusahan keluarganya mendapat perhatian Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

Nabilah, 18, dari Alai, di sini, menerima bantuan universiti itu menerusi Yayasan Tun Canselor UTeM di bawah tajaan pakej Anak Emas UTeM bagi kategori pelajar susah dan mempunyai latar pendidikan cemerlang.

Naib Canselor UTeM Prof Dr Massila Kamalrudin berkata, tajaan itu diberikan berdasarkan maklumat mengenai pelajar terbabit yang mendapat tawaran pengajian Diploma Kejuruteraan Pembuatan, tetapi tidak dapat memulakan pengajian disebabkan kekangan kewangan keluarga.

"UTeM berbesar hati menghulurkan sumbangan awal bagi memulakan pengajian kepada Nabilah berupa pembiayaan penuh yuran pengajian semester satu sebanyak RM914.

"Pihak kami juga akan membayar elaun sara hidup RM500 sebulan bagi memudahkan urusan beliau memulakan kehidupan sebagai pelajar universiti," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, beliau menziarah dan menyampaikan sumbangan kepada keluarga Nabilah di rumahnya di Alai, di sini.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UTeM Prof Madya Datuk Dr Sabri Mohamad Sharif.

Massila berkata, pelajar itu sudah mendaftar secara rasmi dan memulakan pengajian semester satu di Fakulti Kejuruteraan Pembuatan, Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal bermula hari ini.

Sementara itu, Nabilah mengucapkan terima kasih kepada UTeM yang memberikan harapan baharu kepadanya untuk merealisasikan impian melanjutkan pelajaran ke universiti.

Menurutnya, bapanya, Zainuddin Hassan, 54, yang sebelum ini bekerja sebagai pengawal keselamatan, kini tidak mampu bekerja selepas pembedahan jantung dan sedang mendapatkan rawatan susulan di Institut Jantung Negara (IJN).

Katanya, ibunya, Siti Noormasurah Ahmad, 49, pula hanya bekerja sebagai pembantu kantin bagi menampung kehidupan mereka sekeluarga selain turut berdepan dengan masalah kesihatan.

"Saya memang bercita-cita untuk melanjutkan pengajian di UTeM dan melihat keadaan ibu dan ayah serta kesusahan keluarga, membakar semangat saya untuk berjaya dalam pelajaran seterusnya mengubah nasib keluarga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Ogos 2023 @ 4:32 PM