KAFETERIA UTeM. FOTO Ihsan UTeM
KAFETERIA UTeM. FOTO Ihsan UTeM
Amir Mamat


Melaka: Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) memperkenalkan Menu Keluarga UTeM bagi membantu pelajar menangani peningkatan kos harga barangan dan makanan ketika ini.

Naib Canselornya, Prof Dr Massila Kamalrudin berkata, langkah proaktif itu diambil selepas mengambil kira beban yang ditanggung penuntut susulan kenaikan harga beberapa barangan keperluan harian.

Beliau berkata, program Menu Keluarga UTeM itu membabitkan beberapa menu makanan berat dan berkhasiat merangkumi set nasi berlauk bersama air yang diperkenalkan menerusi dua variasi iaitu dengan setiap set berharga RM3 dan RM4.

"Bagi memantapkan kawalan harga makanan dan terus cakna terhadap kebajikan pelajar UTeM yang kebanyakannya dalam golongan B40, kami turut melaksanakan sistem pemberian bantuan makanan kepada mereka.

"Langkah ini diambil bagi memastikan penuntut tidak terbeban, meskipun dunia dan negara sedang menghadapi gelombang kenaikan harga barangan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Massila berkata, kebajikan pihak pengusaha kafeteria turut dipelihara kerana mereka turut berhadapan dengan kenaikan harga barangan namun tetap perlu mengekalkan harga makanan pada kadar sedia ada.

Justeru, katanya, pihak pengurusan UTeM bersetuju membantu meringankan bebanan kos pengusaha kafeteria di universiti terbabit dengan memberikan pengecualian sewa bulanan bermula bulan ini sehingga Disember depan.

"Situasi 'menang-menang' ini adalah kerana pihak UTeM bersama pelajar serta pengusaha kafeteria adalah di bawah persekitaran keluarga UTeM yang sentiasa prihatin dan bekerjasama antara satu sama lain," katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UTeM, Prof Madya Datuk Dr Sabri Mohamad Sharif berkata, selain daripada strategi dan langkah kawalan efektif itu, pihaknya turut memperhebatkan bantuan lain seperti Food Bank Siswa UTeM B40 kepada pelajar yang tinggal di Kolej Kediaman dalam dan luar.

"Usaha itu dilakukan demi kebajikan dan kesejahteraan pelajar," katanya.

Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UTeM, Muhd Amri Hakimi Alias turut menyokong usaha yang dilaksanakan pihak universiti itu.

"MPP akan sentiasa memantau dan bekerjasama dalam memastikan kawalan harga makanan yang efektif, kualiti dan berpatutan.

"Ini membuktikan suara mahasiswa diambil perhatian serius oleh pihak pengurusan dan pentadbiran universiti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Julai 2022 @ 8:56 PM