Alias Abd Rani


Muar: Kelindan lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak tirinya bulan lalu.

Tertuduh berusia 35 tahun yang baru lima bulan berkahwin dengan ibu mangsa membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibaca jurubahasa di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan amang seksual terhadap anak tirinya berusia 10 tahun di sebuah rumah di Parit Sulong, Batu Pahat, jam 10.20 malam, 24 Februari lalu.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang dibaca bersama Seksyen 16 (1) akta sama, hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

Bagi Seksyen 16 (1) pula, tertuduh boleh dikenakan hukuman tambahan iaitu penjara sehingga lima tahun dan sebatan tidak kurang dua kali.

Berdasarkan laporan, kejadian berlaku di rumah ibu mangsa ketika semua ahli keluarganya tiada.

Tertuduh yang berkahwin dengan ibu mangsa September tahun lalu, didakwa melakukan perbuatan itu malah turut meminta mangsa tidak menceritakan kepada sesiapapun.

Namun mangsa menceritakan kejadian itu kepada rakan sebelum memberitahu penduduk kawasannya yang kemudiannya membuat laporan polis.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, pihak pendakwaan memohon mahkamah tidak membenarkan ikat jamin terhadap tertuduh memandangkan mangsa dengan lelaki itu masih tinggal sebumbung.

"Atas faktor keselamatan dan ada kemungkinan perkara sama berulang terhadap mangsa, pihak pendakwaan memohon mahkamah mempertimbangkan agar tertuduh tidak dibenarkan ikat jamin," katanya.

Selepas mendengar hujahan dan rayuan kedua-dua pihak, mahkamah memutuskan tiada tawaran ikat jamin diberikan terhadap tertuduh.

Mahkamah juga menetapkan 4 April ini untuk sebutan semula kes, serahan dokumen dan juga lantikan peguam tertuduh.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mac 2024 @ 1:03 PM