Zulkifli (kanan) melihat suasana pembelajaran di sebuah masjid di Leicester yang kurang kondusif dan memerlukan bangunan sekolah baru yang lebih selesa.
Zulkifli (kanan) melihat suasana pembelajaran di sebuah masjid di Leicester yang kurang kondusif dan memerlukan bangunan sekolah baru yang lebih selesa.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Kuala Lumpur: Setiap kali tiba waktu solat Zuhur dan Asar, mereka terpaksa mengosongkan 'bilik darjah' bagi memberi ruang kepada jemaah menunaikan solat.

Begitulah keadaan dihadapi 250 pelajar yang mengikuti kelas pengajian Islam dalam keadaan sesak dan kurang kondusif di sebuah masjid di Leicester, England.

Justeru, mereka memohon simpati umat Islam di Malaysia bagi menyelesaikan proses pembelian sebuah bangunan tidak jauh dari masjid itu untuk dijadikan sekolah pendidikan Islam.

Presiden Muslim Care Malaysia (MCM), Zulkifli Wahijan berkata, pihaknya diberi amanah untuk mengumpulkan sumbangan daripada rakyat Malaysia bagi pembelian bangunan baru yang bakal dijadikan sekolah pendidikan Islam.

Beliau berkata, harga bangunan itu adalah £425,000 pound (RM2.4 juta), namun jumlah sumbangan yang disasarkan daripada rakyat Malaysia hanyalah sekitar RM550,000.

"Komuniti Islam di sana sedang berkembang dan mereka amat dahagakan ilmu dan pengajian Islam. Mereka turut berusaha mengumpulkan dana bagi membolehkan impian memiliki sekolah Islam tercapai.

"Jadi, inilah peluang terbaik kita untuk mendapat pahala yang berterusan. Biarpun sumbangan daripada kita tidak seberapa, namun insyaAllah besar ganjarannya di sisi Allah SWT.

"Selagi pelajar sekolah itu mendapat manfaat, mengamalkan dan menyebarluaskan ilmu yang mereka pelajari, selagi itulah kita akan mendapat pahala…insyaAllah," katanya yang berkunjung ke Leicester, baru-baru ini.

Zulkifli berkata, bangunan baru Sekolah Islam Leicester itu kelak mampu memuatkan sehingga 400 pelajar, selain dilengkapi kemudahan kantin dan ruang riadah.

Sumbangan untuk pembelian Sekolah Islam Leicester boleh disalurkan ke akaun Muslim Care Malaysia: 564490413882 (Maybank) dengan menghantar slip pindahan wang ke talian Hotline MCM 011-50050035.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Jun 2023 @ 7:47 AM