Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Kerajaan akan mempercepatkan penggubalan undang-undang nyah karbon bagi mengawal selia aktiviti berkenaan.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata, setakat ini tiada undang-undang berkaitan teknologi nyah karbon dan penggubalan itu perlu disegerakan bagi menarik lebih ramai pelabur masuk ke dalam negara.

Beliau berkata, penggubalan itu juga seiring dengan komitmen kerajaan yang mahu menjadikan Malaysia sebagai negara neutral karbon menjelang 2050.

"Sekarang tidak ada lagi (undang-undang), jadi bila tidak ada, pelabur nak masuk itu, dia tak tahu macam mana (proses).

"Contohnya esok awak nak import karbon (tetapi) tak tahu nak bayar berapa duti (sebab) kita tak ada undang-undang langsung tentang nyah karbon.

"Jadi, kerajaan sekarang di bawah Kementerian Ekonomi mengusahakan secepat mungkin undang-undang mengenai nyah karbon (dan) bila ada undang-undang itu, saya yakin ia akan mempercepatkan industri nyah karbon di negara kita," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Sesi Libat Urus Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) Bersama Kerajaan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

RAFIZI berucap pada Sesi Libat Urus Kajian Separuh Penggal RMKe-12 Bersama Kerajaan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman. FOTO Ghazali Kori
RAFIZI berucap pada Sesi Libat Urus Kajian Separuh Penggal RMKe-12 Bersama Kerajaan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman. FOTO Ghazali Kori

Rafizi berkata, Terengganu dilihat sebagai antara negeri berpotensi dalam industri nyah karbon dengan memanfaatkan telaga minyak yang sudah tidak digunakan.

"Teknologi yang dipanggil sebagai teknologi penangkapan dan penyimpanan karbon (CCS) dan yang ini ada potensi besar di Terengganu kerana Terengganu yang paling banyak lapangan minyak yang sudah tidak digunakan.

"Jadi, itu antara salah satu perkara yang akan diberi tumpuan dan ini akan membolehkan industri minyak dan gas yang ada di Kerteh, Kemaman sekarang bertukar menjadi industri hijau dengan menggunakan telaga minyak sedia ada untuk menyimpan dan menyahkarbon," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Jun 2023 @ 4:17 PM