Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Persidangan sesi pagi di Dewan Rakyat kecoh hampir sejam apabila pihak kerajaan dan pembangkang bertikam lidah mengenai kewajaran usul kerajaan membahaskan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2021 yang terkandung dalam Aturan Urusan Mesyuarat dan Usul-Usul.

Selepas sesi pertanyaan lisan selesai, Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) bangun membangkitkan persoalan kewajaran usul membahaskan LKAN 2021 di Dewan Rakyat.

Setiausaha Agung Pas itu mengetengahkan Peraturan 20(2) Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat serta turut mendakwa usul berkenaan bercanggah Perkara 107 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, amalan persidangan Dewan Rakyat terdahulu tidak pernah membahaskan LKAN, selain mendakwa ia perlu menjadi peraturan dan undang-undang tidak bertulis untuk tidak membenarkan dokumen berkenaan dibahaskan.

"Atas dasar ini, kami berpandangan usul membolehkan LKAN 2021 dibahaskan adalah bertentangan dengan Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dan Perlembagaan Persekutuan," katanya, hari ini.

Ia disokong Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) yang membangkitkan Peraturan 77(1)(c) Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, berkaitan fungsi dan tugas Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Namun, Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) dan RSN Rayer (PH-Jelutong) yang membantah hujah itu kemudian mencelah dan menjelaskan pendekatan berkenaan adalah sebahagian daripada transformasi parlimen yang ingin dilakukan.

Suasana kecoh bersambung apabila Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengambil alih persidangan daripada Timbalannya, Alice Lau Kiong Yieng.

Mengikut aturan urusan mesyuarat persidangan Dewan Rakyat, usul membahaskan LKAN 2021 dijadual dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri selepas bacaan kali pertama Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Koperasi Malaysia (Pindaan) 2023.

Sementara itu, Johari dalam keputusannya membenarkan LKAN 2021 dibahaskan, selepas mempertimbangkan Peraturan 100 Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, berkaitan kuasa Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Beliau berkata, perbahasan LKAN 2021 dibuat bagi memberi gambaran jelas kepada rakyat mengenai kesungguhan ahli parlimen membincangkan masalah dihadapi orang ramai secara terbuka.

Selain itu, katanya, Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermiyati Samsuddin dan 12 ahlinya diarah untuk mengambil maklum berkaitan input dinyatakan sepanjang perbahasan LKAN 2021 berlangsung.

"Saya sebagai bekas pegawai tadbir diplomatik dan Ahli Parlimen, selain mendengar keluhan rakyat meminta supaya LKAN dibahaskan secara terbuka. Apa yang berlaku ialah PAC buat laporan, adakan siri inkuiri dan pelbagai lagi tetapi malangnya tidak banyak yang dilaporkan kepada umum.

"Justeru, saya merasakan laporan ini (LKAN) harus dibincangkan di Dewan Rakyat dan rakyat akan melihat apa yang sedang berlaku, sekiranya (LKAN) gagal (dibahaskan di Dewan Rakyat)," katanya.

Sementara itu, Johari turut menyatakan komitmen untuk membahaskan beberapa laporan selain LKAN yang sebelum ini hanya dibentangkan di meja Ahli Parlimen.

"Soalnya sekarang ini ialah kita mahu bincangkan laporan (LKAN) yang tak pernah dibuat dan inilah permintaan di bawah (rakyat) supaya kita bincangkan kedudukan kewangan negara dan kaedah untuk mara ke hadapan.

"Selepas ini banyak lagi laporan lain yang dibentangkan di meja Ahli Parlimen yang akan dibawa (dibahaskan) supaya kita lebih terbuka, akhirnya rakyat tahu kita sedang membincangkan mengenai masalah mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Jun 2023 @ 2:36 PM