WAN Junaidi (kanan) melihat pelan projek benteng Kampung Muara Tebas yang akan dibina. FOTO Nadim Bokhari
WAN Junaidi (kanan) melihat pelan projek benteng Kampung Muara Tebas yang akan dibina. FOTO Nadim Bokhari
Mohd Roji Kawi


Kuching: Cadangan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin untuk membawa usul bagi melanjutkan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) tidak menyalahi peraturan Dewan Rakyat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, ini kerana cadangan itu hanya usul, bukan Rang Undang-Undang (RUU).

Justeru katanya, tiada masalah bagi Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk membentangkan usul itu di Dewan Rakyat sebelum 31 Julai ini.

"Mengikut Peraturan 63 Dewan Rakyat, mana-mana RUU yang sudah ditolak, tidak boleh dibentangkan lagi pada sesi mesyuarat sama hingga ke penggal persidangan Parlimen akan datang iaitu tahun depan.

"Tetapi apa yang dicadangkan oleh KDN itu bukan RUU, sebaliknya hanya usul yang tidak terikat dengan Peraturan 63, jadi ia boleh dibentang pada bila-bila masa," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Santubong berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri taklimat projek pembinaan benteng Kampung Muara Tebas, di sini, hari ini.

Projek benteng sepanjang satu kilometer dengan anggaran kos RM25 juta itu akan dilaksanakan bagi mengatasi masalah banjir yang dihadapi 100 rumah penduduk kampung itu setiap kali air pasang besar.

Mengulas lanjut isu usul lanjutan kuat kuasa Subseksyen 4(5) itu, beliau berkata, apabila sudah dibentangkan, ia boleh dibahaskan pada sesi persidangan Parlimen akan datang.

"Dari situ kita akan melihat apa penerimaan Ahli Parlimen kerana ketika saya yang membentangkannya lima tahun lalu, ramai tidak menyukainya kerana ia memperuntukkan tempoh tahanan 28 hari bagi polis menjalankan siasatan.

"Ramai Ahli Parlimen yang memperjuangkan hak asasi manusia membantah, tetapi situasi jenayah yang berlaku di negara kita tidak boleh dibandingkan dengan negara lain dalam hal hak asasi manusia," katanya.

Menurutnya, Akta Sosma perlu disemak semula setiap lima tahun dan bermakna ia boleh diperbaharui semula dengan usul seperti yang dicadangkan oleh KDN.

Mengenai perkembangan kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, Wan Junaidi berkata, pihaknya sudah mengadakan beberapa siri mesyuarat, namun keputusannya tidak boleh didedahkan kepada umum, ketika ini.

"Kita sudah membentuk jawatankuasa yang turut dianggotai pakar luar serta dari universiti untuk menilai semula bukti yang ada serta meneliti bagaimana kejadian itu berlaku.

"Selepas tiga bulan dibentuk, jawatankuasa itu akan membuat laporan kepada Kabinet dan kita hanya boleh mendedahkan maklumat berkaitan hasil siasatan itu selepas Kabinet melihatnya.

"Saya percaya pada pertengahan bulan ini, kertas Kabinet itu boleh dibentangkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 April 2022 @ 3:51 PM