SUASANA dalam Dewan Rakyat petang ini, iaitu hari kedua blok pembangkang memboikot sesi pembentangan, perbahasan, penggulungan usul LKAN.
SUASANA dalam Dewan Rakyat petang ini, iaitu hari kedua blok pembangkang memboikot sesi pembentangan, perbahasan, penggulungan usul LKAN.
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul membuat teguran apabila blok pembangkang sekali lagi memboikot sesi pembentangan, perbahasan dan penggulungan usul Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2021, hari ini.

Johari Abdul menegur sikap pembangkang dan menyifatkan ketidakhadiran Ahli-Ahli Parlimen pembangkang sepanjang sesi itu sebagai bukan amalan biasa.

Beliau yang membangkitkan perkara itu ketika mempengerusikan persidangan, juga mengesahkan Ahli Parlimen pembangkang sudah memboikot semua sesi pembentangan usul berkenaan sejak semalam dan diteruskan hingga petang ini.

"Selalunya dewan penuh, tetapi semalam pembangkang tak mahu terbabit dalam perbincangan atau perbahasan. Jadi mereka sudah buat keputusan untuk boikot dan meninggalkan dewan sejak semalam dan hingga hari ini.

"Jadi ini bukan amalan biasa, tapi agak luar biasa. Janganlah kita memberi anggapan ini adalah keadaan biasa dalam dewan (tanpa pembangkang), ini tidak begitu. Isu ini agak terpencil (jarang berlaku)," katanya.

Teguran Johari ini kemudiannya dicelah RSN Rayer (PH-Jelutong) yang menganggap ketiadaan pembangkang di sepanjang pembentangan usul itu menjadikan keadaan dewan lebih aman.

"Keadaan aman dan damai tanpa pembangkang," kata Rayer.

Johari kemudian memaklumkan usul yang pertama kali dibentang dan dibahas serta menempa sejarah baharu kepada Parlimen itu diluluskan selepas mendapat sokongan suara majoriti ahli dewan yang hadir itu.

Semalam, portal MyMetro melaporkan pembangkang seolah-olah memboikot pembentangan usul membahaskan LKAN 2021 di Dewan Rakyat, apabila tiada seorang pun yang masuk ke dewan pada sesi petang selepas rehat tengah hari.

Kerusi di blok pembangkang dilihat kosong ketika Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Transformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said membentangkan usul membahaskan LKAN 2021 itu.

Terdahulu, Dewan Rakyat semalam kecoh apabila pembangkang mempersoalkan keputusan kerajaan mahu supaya LKAN Tahun 2021 Siri Dua dibentang dan dibahaskan, sehingga mencetuskan perbalahan antara blok kerajaan dan pembangkang serta mengganggu perjalanan persidangan.

Azalina ketika membentangkan usul itu semalam menyifatkan pembentangan bertujuan supaya semua pihak dapat memberikan perhatian terhadap kehendak undang-undang untuk mewujudkan tadbir urus sektor awam yang lebih baik.

Namun, Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada sidang medianya semalam mempersoalkan tindakan kerajaan membawa usul berkenaan untuk dibahaskan, dengan menyifatkan keputusan itu bercanggah dengan Perkara 107 Fasal 1 Perlembagaan Persekutuan.

Takiyuddin juga menyatakan perkara berkenaan LKAN seharusnya dirujuk dan dibincangkan dalam prosiding Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), memandangkan PAC mempunyai kuasa lebih meluas termasuk memanggil mana-mana pihak yang terbabit dalam sebarang isu berkaitan ketirisan perbelanjaan kerajaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Jun 2023 @ 4:22 PM