TAN Sri Johari Abdul. FOTO Bernama
TAN Sri Johari Abdul. FOTO Bernama
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: "Saya minta Muar, jangan berlaku tak adil. Harap Muar perbetulkan.

"You nak main politik, mainlah tapi 'don't play politic with me because i am not politician, i am a speaker of the house'," kata Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

Johari membuat teguran itu terhadap Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, selepas Ahli Parlimen Muar itu seolah-olah menyindir beliau berhubung usul membahaskan Kapal Tempur Pesisir (LCS) ditolak semasa sesi persidangan Dewan Rakyat, pagi tadi.

Johari berkata, usul Syed Saddiq ditolak berikutan tidak memenuhi Peraturan Mesyuarat 18 (7)(c) selepas Kementerian Pertahanan perlu membentangkan laporan kemajuan projek pembinaan kapal LCS setiap tiga bulan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

Katanya, ia juga mengambil kira selepas PAC membuat keputusan untuk melawat Lumut, Perak dan membuat siasatan lanjut.

"Maknanya, bila PAC sudah buat keputusan kita nak bincang apa lagi, biarlah PAC buat report (laporan) dan selepas itu, kita bincangkan dan saya akan benarkan.

"Ingat, saya tak membuat keputusan, saya cuma melaksanakan apa yang termaktub dan membuat keputusan berdasarkan dua benda ini (Peraturan Mesyuarat) dibuat ahli parlimen sendiri.

"Jadi, tak adil untuk Muar dan orang lain juga. You nak 'fight among yourself, go ahead'...'I don't care' tetapi jangan attack us (Speaker dan Timbalannya) kerana kami di sini memastikan selesaikan apa yang diminta kerajaan of the day," katanya pada sesi persidangan petang ini.

Terdahulu pagi tadi, Syed Saddiq ketika menyentuh kembali penolakan usul LCS, seolah-olah menyindir Johari bahawa isu itu bukan kepentingan awam dan keperluan mendesak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Jun 2023 @ 5:59 PM