Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Lebih 120 pembeli pangsapuri untuk kakitangan awam di Lembah Sireh, di sini kecewa apabila impian mereka untuk menghuni kediaman sendiri belum termakbul hingga kini.

Projek perumahan itu yang sepatutnya siap pada 2020 dikatakan masih terbengkalai dan tiada kemajuan selepas pembinaannya tertangguh disebabkan Covid-19.

Lebih malang apabila mereka terpaksa menanggung bayaran pinjaman perumahan sehingga RM1,500 sebulan sejak 2021 sekali gus terbeban dengan komitmen lain.

Penjawat awam, Dr Maryam Azlan, 43, berkata, projek pangsapuri berkenaan disasarkan kepada penjawat awam dan kebanyakan pembeli sudah menandatangani perjanjian jual beli pada 2017 dan 2018.

"Ada antara kami yang membuat pinjaman bank, malah ada juga melalui Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA), namun sejak ia terbengkalai dua tahun lalu, projek ini tidak menunjukkan sebarang perkembangan.

"Saya membuat bayaran bulanan dengan potongan RM1,500 bermula akhir tahun lalu dan lebih membebankan lagi, pada masa sama turut menanggung bayaran bulanan rumah yang didiami bersama keluarga ketika ini.

"Sebagai pembeli, saya merayu pihak berkaitan supaya mendesak pemaju menyiapkan projek ini segera," katanya ketika ditemui bersama beberapa pembeli lain, hari ini.

NUR Asyikin menjual perisa moden dan tradisional bagi kuih bulan seperti pandan, matcha, coklat dengan coklat putih, coklat dengan kopi dalgona, teh hijau dengan karamel dan coklat dengan beri biru. FOTO BERNAMA
NUR Asyikin menjual perisa moden dan tradisional bagi kuih bulan seperti pandan, matcha, coklat dengan coklat putih, coklat dengan kopi dalgona, teh hijau dengan karamel dan coklat dengan beri biru. FOTO BERNAMA

Siti Alizam Shafie, 35, pula berkata, dia dan beberapa pembeli lain sudah berhubung dengan pemaju mengenai perkembangan projek itu dan dimaklumkan rumah mereka bakal siap pada September.

"Bagaimanapun tiga minggu lalu, kami sekali lagi dimaklumkan tidak ada tarikh sebenar projek ini akan siap. Saya kecewa dengan tindakan pemaju dan mahukan penjelasan.

"Pada masa sama, kami juga ada menghantar surat kepada Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk membantu dan supaya perkara ini diselesaikan," katanya yang memberitahu dia perlu menyewa rumah dengan bayaran RM600 sebulan dan berharap dapat menduduki rumah dibeli bersama keluarga.

Pembeli lain, Asmat Mohd Zain, 39, berkata, dia yang bekerja di Pasir Gudang, Johor membeli rumah itu kerana mengimpikan untuk memiliki rumah sendiri apabila pulang ke kampung halaman selepas bersara.

"Setiap kali pulang ke Kelantan saya akan melawat kawasan rumah mampu milik ini, namun apa yang dilihat tidak sebagaimana yang dibayangkan.

"Saya amat berharap pihak pemaju dapat menyelami perasaan pembeli yang kecewa, sedih dan juga terbeban disebabkan masalah ini," katanya.

Sementara itu, usaha untuk mendapatkan penjelasan daripada pihak pemaju gagal selepas beberapa kali dihubungi.

Pangsapuri 29 tingkat itu dilapor mempunyai 2,120 unit terdiri daripada enam blok kediaman, surau, tadika, taska dan dibangun di atas tanah seluas 4.01 hektar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Mei 2023 @ 1:37 PM