Zaid Salim


Marang: Seramai 120 pembeli melahirkan kekecewaan apabila impian mereka untuk memiliki kediaman sendiri sehingga kini tidak menjadi kenyataan apabila pembinaan rumah idaman terbengkalai sehingga kini.

Projek Perumahan Gong Chempedak Fasa 3, di sini, sepatutnya siap pada 2020 lalu, namun terbengkalai selepas dua tahun projek berkenaan dilaksanakan pada 2016.

Kegagalan pemaju menyiapkan projek berkenaan menyebabkan pembeli kini terpaksa menanggung beban apabila terpaksa membuat bayaran bulanan antara RM400 hingga RM800 sejak 2018.

Penjawat awam, Abdul Halim Mohamed, 34, berkata dia meminta jasa baik kerajaan negeri untuk menyelesaikan permasalahan dihadapi mereka kerana mendakwa keadaan itu sudah lama berlarutan.

"Disebabkan tidak ada tempat tinggal, keluarga saya terpaksa menumpang rumah ibu. Sampai bila saya hendak menumpang rumah ibu.

"Untuk keselesaan keluarga, saya membeli rumah sendiri pada 2016 tetapi sehingga kini rumah berkenaan masih belum siap. Berapa lama lagi kami harus tunggu sedangkan bayaran dibuat setiap bulan.

"Harap pemaju dapat menyelami perasaan pembeli yang kecewa, sedih dan terbeban dengan masalah kewangan sehingga ada yang terpaksa menumpang rumah keluarga, menyewa rumah sementara," katanya.

Abdul Halim berkata demikian ketika ditemui bersama beberapa pembeli lain di tapak projek perumahan berkenaan, di sini, hari ini.

Pembeli lain Mohamad Hafiz Salleh, 38, berkata dia membeli rumah berkenaan selepas berkahwin, namun tidak tahu bila rumah berkenaan boleh dimiliki.

Katanya, dia sangat kecewa dengan tindakan pemaju dan tidak tahu kenapa pemaju menghentikan pembinaan rumah berkenaan pada 2018.

"Sudah banyak kali kami membuat aduan kepada kerajaan negeri kerana projek berkenaan didirikan atas tanah kerajaan negeri.

"Bagaimanapun, kami sangat kecewa apabila kerajaan negeri tidak dapat membantu kerana mendakwa ia adalah projek swasta dan bukannya projek kerajaan negeri.

"Saya daripada tidak ada anak, sampai sudah anak dua orang berusia empat dan dua tahun, tetapi rumah tak dapat-dapat lagi," katanya yang juga menumpang di rumah ibunya bersama dua keluarga lain.

Difahamkan, mengikut perjanjian proses penyerahan kunci rumah sepatutnya dilakukan pada 2020, namun sehingga kini status projek berkenaan tidak ketahui.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Mei 2023 @ 3:33 PM
Sebahagian daripada 120 pembeli rumah Projek Perumahan Gong Chempedak Fasa 3 menggesa pemaju dan kerajaan negeri menyelesaikan segera kerja-kerja pembinaan yang terbengkalai sejak 2018. FOTO ZAID SALIM
Sebahagian daripada 120 pembeli rumah Projek Perumahan Gong Chempedak Fasa 3 menggesa pemaju dan kerajaan negeri menyelesaikan segera kerja-kerja pembinaan yang terbengkalai sejak 2018. FOTO ZAID SALIM