Zuliaty Zulkifli


Alor Setar: "Doktor beritahu, kami perlu menyediakan sekurang-kurangnya RM200,000 untuk kos rawatan. Malangnya kami tidak mampu mengumpul wang sebanyak itu," ujar pesakit barah limfoma, Zamri Ali, 54.

Zamri kini hanya bergantung sepenuhnya kepada rawatan di hospital bagi melawan penyakit barah maut dihidapi.

Katanya, barah limfoma itu mula dikesan tahun lalu apabila kerongkongnya berasa sakit seperti tercekik tulang ikan.

"Ketika itu saya hanya tahan sakit dan makan secara perlahan-lahan berikutan kerongkong amat pedih.

"Namun tidak lama kemudian bahagian leher pula bengkak tetapi bersaiz kecil. Namun selepas beberapa bulan, bengkak itu semakin membesar menyebabkan saya menjalani pemeriksaan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini.

"Doktor mengesahkan saya menghidap barah limfoma selepas menjalani beberapa rawatan di hospital," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Alor Ganu di sini, tadi.

Zamri berkata, dia dan isterinya, Azizah Ali, 48, sebelum ini berniaga roti canai untuk menyara kehidupan keluarga namun sejak sakit, mereka hilang punca pendapatan.

Katanya, kini dia tidak dapat bekerja kerana kerap menjalani rawatan termasuk kemoterapi yang dilakukan lebih 13 kali.

"Namun rawatan kemoterapi tidak membantu mengecutkan bengkak di leher berikutan ia semakin membesar menyebabkan doktor mencadangkan saya menjalani pemeriksaan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) di Kuala Lumpur.

"Doktor memberitahu kos rawatan akan menelan belanja sekurang-kurangnya RM200,000," katanya.

Menurut Zamri, dia kini bergantung harap kepada sumbangan ehsan adik beradik dan ahli keluarga selain sumbangan jiran.

"Kami tak tahu bagaimana manu mendapatkan wang sedangkan tiga anak masih bersekolah selain kos rawatan saya yang tinggi," katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubunginya di talian 012-4082194 atau menyalurkan sumbangan melalui akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) milik isterinya 0200241100007858.

Sementara itu, Pengerusi Cancer Survivors Malaysia (CSM), Zuraini Kamal mengunjungi pesakit itu dan menghulurkan sumbangan wang tunai serta barangan kelengkapan dapur untuk kegunaan Zamri sekeluarga.

Katanya, pihaknya akan terus memberi sokongan kepada Zamri supaya meneruskan rawatan serta bersemangat melawan barah yang dihidapi.

Zuraini Kamal (dua dari kanan) melihat laporan perubatan pesakit barah limfoma, Zamri Ali. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Zuraini Kamal (dua dari kanan) melihat laporan perubatan pesakit barah limfoma, Zamri Ali. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Mei 2023 @ 2:40 PM