Zuliaty Zulkiffli


Sintok: Pesakit barah limfoma tahap empat, Wan Muhammad Hakimi Wan Mustafa Kamal, 17, tidak menyangka memperoleh keputusan 4A, 2B, 1C dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan hari ini.

Dia yang menghidap barah itu sejak 2019 bersyukur kerana walaupun sering berulang-alik menjalani rawatan di hospital namun dia mampu membuktikan kejayaan.

Katanya, dia sebelum ini banyak menghabiskan masa di wad Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk menjalani rawatan kemoterapi serta rawatan susulan.

"Sepanjang dalam wad, saya bawa bersama buku sekolah untuk mengulangkaji pelajaran.

"Selain itu, ibu, Shahrul Afizah Ahmad, 47, serta bapa tiri, Amir Ramli, 51, banyak memberi sokongan dan galakan kepada saya untuk berjaya," katanya ketika ditemui di Sekolah Menengah Bandar Baru Sintok, hari ini.

Katanya, walaupun diuji dengan barah limfoma namun dia tidak pernah patah semangat malah bercita-cita tinggi untuk menjadi guru.

"Sekarang keadaan kesihatan saya bertambah baik dan saya perlu menjalani rawatan susulan di HPP selama tiga bulan sekali.

"Saya memang berhasrat menyambung pengajian ke universiti dan saya mengucapkan terima kasih kepada Cancer Survivors Malaysia (CSM) yang menaja kelas tuisyen kepada saya, " katanya.

Menurutnya, dia pernah gagal dalam mata pelajaran Matematik dan Sejarah pada peperiksaan percubaan SPM sebelum ini namun tidak menyangka akan beroleh keputusan cemerlang.

Sementara itu, Pengerusi CSM, Zuraini Kamal berkata, pihaknya membantu Wan Muhammad Hakimi sejak 2019 dengan menghulurkan sumbangan wang tunai bagi menampung kos ke HPP, susu formula khas serta menaja kelas tuisyen.

"Alhamdulillah, walaupun dia sakit tapi dia berjaya membuktikan kejayaannya dalam SPM.

"Orang ramai boleh menghulurkan sumbangan buat Wan Muhammad Hakimi bagi meneruskan cita-citanya selain meneruskan rawatan di hospital melalui akaun Maybank 1520 5010 5835 milik ibunya, Shahrul Afizah Ahmad, " katanya.

WAN Muhammad Hakimi bersama ibunya, Shahrul Afizah di hadapan SM Bandar Baru Sintok. FOTO Zuliaty Zulkiffli
WAN Muhammad Hakimi bersama ibunya, Shahrul Afizah di hadapan SM Bandar Baru Sintok. FOTO Zuliaty Zulkiffli

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Jun 2023 @ 2:24 PM