Zuliaty Zulkiffli

Jitra: Pesakit kanser limfoma tahap empat, Marsuzanty Md Taib, 48, dihantui kebimbangan memikirkan nasib lima anaknya jika apa-apa berlaku terhadapnya yang bakal menjalani ujian bagi mengetahui sama ada sesuai untuk melakukan proses transplan stem sel, Mac ini.

Katanya, sebagai ibu tunggal yang kehilangan suami, Aziz Nasib akibat Covid-19 tahun lalu, dia sering kemurungan dan menangis memikirkan nasib yang menimpanya itu.

"Saya pernah menjalani ujian yang sama tahun lalu tetapi gagal disebabkan bilangan sum-sum dalam badan tidak bergerak dan sekarang saya takut ujian kali ini gagal lagi malah macam-macam bermain di kepala.

"Kali ini, saya perlu jalani 'immobilezation kemoterapi" terlebih dahulu di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar pada 3 Februari ini untuk mengaktifkan bilangan sum-sum.

"Selepas itu, saya akan ke Hospital Ampang di Kuala Lumpur untuk melakukan pengumpulan stem sel dan jika ia sesuai, barulah pembedahan boleh dilakukan," katanya.

Marsuzanty berkata, dia mula dikesan menghidap kanser limfoma itu pada tahun 2019 selepas mengalami demam dan bengkak di bawah leher.

Katanya, dia pernah menjalani pembedahan biopsi pada 7 Februari 2019 dan mula menjalani rawatan kemoterapi pada 3 Mac hingga 9 September tahun sama sebanyak enam pusingan.

"Namun kanser itu menyerang semula pada tahun 2021 menyebabkan saya terpaksa menjalani semula tiga pusingan rawatan kemoterapi serta radioterapi.

"Saya kuatkan diri demi anak-anak dan mengumpul wang dengan menjual karipap sejuk beku mengikut tempahan pelanggan.

Katanya, dia tidak mampu menghasilkan banyak karipap dalam sehari dan cuma mampu menyiapkan 100 biji karipap ayam sehari disebabkan sibuk menguruskan tiga anak yang masih bersekolah selain kerap berulang alik ke hospital," katanya.

ZURAINI Kamal (kanan) memberi kata-kata semangat buat pesakit kanser limfoma tahap empat, Marsuzanty Md Taib yang buntu memikirkan masalah yang dihadapinya. FOTO Zuliaty Zulkiffli
ZURAINI Kamal (kanan) memberi kata-kata semangat buat pesakit kanser limfoma tahap empat, Marsuzanty Md Taib yang buntu memikirkan masalah yang dihadapinya. FOTO Zuliaty Zulkiffli

Marsuzanty berkata, dengan hasil jualan karipap yang dijual 70 sen sebiji, dia menyimpan wang berkenaan untuk persekolahan anak-anak, membayar bil elektrik dan air serta sekurang-kurangnya RM3,000 untuk kegunaan ke Hospital Ampang nanti.

Katanya, jika dia ditahan di wad, dia terpaksa meninggalkan tiga anak iaitu Muhammad Alif Emran Aziz, 13, dan dua adiknya, Muhammad Razak Azim, 10, serta, Qadijarania Umaira, 8, dan menguruskan diri mereka sendiri.

"Kadang-kadang saya minta tolong jiran tengokkan anak-anak dan kalau boleh saya tidak mahu susahkan sesiapa malah berharap anak-anak mampu menguruskan diri mereka sendiri.

"Dua lagi anak, Qaisara Balqis, 21, dan Qadijaeisha Umaira, 19, kini sedang melanjutkan pengajian di universiti awam dan dengan hasil menjual karipap sejuk beku ini jugalah saya mengirim wang untuk pengajian mereka," katanya.

Sehubungan itu, mereka yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian dengan menghubungi Marsuzanty di talian 016-4182803 atau melalui akaun bank 4908321715 (Public Bank) miliknya.

Sementara itu, Pengerusi Cancer Survivors Malaysia (CSM), Zuraini Kamal berkata, pihaknya banyak memberi sokongan moral kepada Marsuzanty untuk terus berjuang meneruskan rawatan kanser demi anak-anaknya.

Katanya, CSM turut membantu memberi bantuan wang tunai serta barangan keperluan dapur untuk pesakit itu bagi membolehkan dia berulang alik ke hospital.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 January 2023 @ 1:20 PM