GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

PADAH menipu penolong pengurus bank sehingga menyerahkan wang berjumlah RM175,494, peniaga dalam talian dijatuhkan hukuman penjara 12 bulan dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini.

Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail menjatuhkan hukuman itu terhadap K Bala Subramaniam, 41, selepas dia menukar pengakuan bersalah ketika sebutan kes dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman di Penjara Sungai Buloh bermula dari tarikh tangkap pada 30 Mac lalu.

Mengikut pertuduhan, Bala Subramaniam didakwa menipu mangsa berusia 49 tahun sehingga mendorong lelaki itu menyerahkan wang terbabit.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah bank di Jalan Ampang, Kuala Lumpur antara 11 Oktober 2017 dan 10 April 2018 serta didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun dan sebat dan juga boleh dikenakan denda.

Mengikut fakta kes, mangsa berkenalan dengan tertuduh melalui aplikasi media sosial 'Blued' (aplikasi gay) menggunakan nama Rayyan Azziq Paul dan seterusnya tertuduh meminjam wang daripada mangsa yang dimasukkan ke dalam akaun milik bapa tertuduh.

Selepas melakukan transaksi itu, mangsa cuba menghubungi tertuduh, namun gagal dan akhirnya dia berasa tertipu lalu membuat laporan polis.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Khairiyah Samsudin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Julai 2020 @ 6:23 PM