FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Alias Abd Rani


Muar: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini mengekalkan hukuman penjara 30 tahun serta 24 sebatan selepas menolak rayuan seorang peniaga yang disabitkan kesalahan merogol anak tiri hingga mengandung tahun lalu.

Lelaki berusia 43 tahun itu sebelum ini didapati bersalah atas tiga pertuduhan merogol anak tirinya yang ketika itu berusia 15 tahun tujuh bulan pada 2020.

Berikutan itu, Mahkamah Sesyen Batu Pahat pada 23 Jun 2022 mensabitkan tertuduh dan dikenakan hukuman penjara 10 tahun penjara dan 10 sebatan masing-masing bagi pertuduhan pertama dan kedua manakala pertuduhan ketiga, 10 tahun penjara serta empat sebatan.

Mahkamah ketika itu juga mengarahkan tertuduh menjalani hukuman secara berasingan bermula tarikh ditangkap 26 Ogos 2020.

Mahkamah pada masa itu juga mengarahkan tertuduh menjalani kaunseling pemulihan di bawah peruntukan Seksyen 295A Kanun Tatacara Jenayah serta diletakkan di bawah pengawasan polis selama dua tahun sebaik selesai menjalani hukuman mengikut Seksyen 295 (1A) kanun sama.

Tertuduh kemudian mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi untuk membolehkan hukuman itu diringankan serta dijalankan secara serentak.

Bagaimanapun, Hakim Datuk Wira Halijah Abbas membuat keputusan dalam kamar menolak rayuan itu dengan alasan mahkamah bersetuju dengan hukuman dikenakan Mahkamah Sesyen terhadap tertuduh yang kini menjalani hukuman di Penjara Sungai Udang, Melaka.

Mengikut kertas pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan perbuatan keji itu di sebuah rumah di Parit Raja, Batu Pahat sekitar Januari 2020, pada jam 8 pagi.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan perbuatan sama ke atas mangsa dengan kejadian berlaku dalam sebuah kereta di Jalan Sungai Lurus, Senggarang, Batu Pahat pada jam 11 pagi, Mei 2020.

Untuk pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa sekali lagi merogol anak tirinya di dalam sebuah pondok di Senggarang, pada jam 9.30 malam, April 2020.

Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 30 tahun dan juga sebatan tidak kurang daripada 10 kali.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Nor Syamilah Jalaluddin manakala tertuduh diwakili peguam Syaffie Naim.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Julai 2023 @ 3:17 PM