Siti Rohana Idris


Tumpat: Lebih 100 nelayan di sini berdepan dengan isu muka kuala cetek menyebabkan mereka sukar ke laut untuk menangkap ikan.

Semua nelayan itu dari Kampung Teluk Renjuna, Pantai Suri dan Pantai Haji Nik Mat terpaksa menggunakan laluan lain yang sempit dan memakan masa lebih dua jam sebelum tiba di laut berbanding sejam jika melalui muka kuala di Pulau Haji Nik Mat.

Keadaan di muka kuala itu semakin cetek berikutan pasir dibawa ombak besar setiap kali musim tengkujuh kian meninggikan dasar sungai menyebabkan semua jenis bot tidak dapat melepasinya.

Bagi Mohd Asri Abdullah, 49, keadaan itu semakin teruk sejak lima tahun kebelakangan ini menyebabkan semua nelayan terpaksa menggunakan laluan alternatif.

"Jika kami turun waktu pagi sekalipun, pasti menjelang tengah hari akan sampai di laut dan selain memakan masa, kos bahan bakar juga meningkat dua kali ganda.

"Sekarang ramai juga nelayan bot besar sudah beralih kepada pesisir pantai kerana laluan muka kuala di Pantai Haji Nik Mat itu sudah tidak boleh dilalui bot besar manakala bot kecil pula perlu menunggu air pasang, baru boleh guna laluan itu," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Mohd Asri merayu agar masalah itu mendapat perhatian pihak berwajib kerana sebahagian besar daripada mereka hanya bergantung kepada aktiviti menangkap ikan sebagai punca pendapatan utama.

Katanya lagi, antara penyelesaian yang difikirkan terbaik adalah mengorek dasar sungai untuk membolehkan bot melaluinya.

"Selain itu, langkah yang difikirkan tepat adalah membina benteng pemecah ombak untuk mendalamkan lagi muara sungai supaya bot bebas untuk keluar dan masuk ke laut tanpa mengira waktu dan pasang surut air," katanya.

Tinjauan di kuala Pantai Haji Nik Mat mendapati kawasan itu menjadi seakan pulau berikutan dasarnya semakin tinggi akibat timbunan pasir dan apabila air surut, paras air juga sangat cetek.

Bagi nelayan yang juga pemandu bot pelancong, Zamri Yusof, 34, laluan alternatif yang digunakan sekarang sangat sempit dan hanya mampu memuatkan sebuah bot sahaja dan jika berselisih, akan mendatangkan kesukaran untuk melepasi antara satu sama lain.

"Selain itu, laluan sepanjang 300 meter ini juga dipenuhi pelbagai jenis tumbuhan hutan bakau seperti pokok nipah, bebaru, juju duri dan bemban di tepi laluan sungai dan mendatangkan kesulitan setiap kali pergerakan bot berlaku kerana daun, ranting atau pelepah tumbuhan itu menjadi halangan.

"Penduduk kampung mengambil inisiatif sendiri menebang pelepah dan mencantas ranting serta dahan yang terjuntai kerana menghalang laluan selain bimbang akan mendatangkan kecederaan terutama kepada pelancong," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Mei 2023 @ 2:22 PM
NELAYAN menunjukkan kawasan muka kuala yang cetek di Pantai Haji Nik Mat menyebabkan nelayan sukar keluar ke laut untuk menangkap ikan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
NELAYAN menunjukkan kawasan muka kuala yang cetek di Pantai Haji Nik Mat menyebabkan nelayan sukar keluar ke laut untuk menangkap ikan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar