Foto hiasan
Foto hiasan
BERNAMA

Tumpat: Kira-kira 250 nelayan tradisional di sini, resah apabila pendapatan mereka semakin terjejas berikutan muara sungai di Pantai Suri semakin cetek sejak beberapa tahun lalu.

Penghulu Mukim Teluk Renjuna, Hadi Hassan berkata, situasi itu menyebabkan nelayan hanya boleh melalui muara ketika air pasang dan jika tidak, bot mereka tersadai hingga menghalang laluan keluar masuk ke laut.

Menurutnya, mereka memohon pihak berkaitan membantu nelayan dengan mengorek pasir tertimbus akibat Monsun Timur Laut sejak lebih lima tahun lalu.

"Beting pasir itu sudah menutup keseluruhan muara dianggarkan sepanjang 300 meter akibat dipukul ombak, sekali gus menyebabkan pendapatan nelayan terjejas sejak enam bulan lalu.

"Ini meresahkan golongan nelayan tradisional di sini kerana mereka bergantung hidup menyara keluarga dengan hasil tangkapan di laut.

"Nelayan terpaksa mencari alternatif dengan mengambil upah melakukan kerja kampung lain untuk meraih pendapatan," katanya.

Sementara itu, seorang nelayan, Mat Amin Mamat, 47, berharap pihak berkaitan dapat melakukan sesuatu bagi membuang beting pasir agar nelayan dapat kembali ke laut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 September 2020 @ 5:41 PM