Rosli Ilham

Chukai : Masalah muara cetek di Pantai Penunjuk, di sini, menyebabkan 100 nelayan di kawasan itu berdepan kesukaran untuk keluar dan masuk untuk menangkap ikan.

Yusof Mohammad,70, mendakwa masalah itu sudah berlarutan sekian lama dan semakin serius sehingga muara itu membentuk timbunan pasir sekali gus menutup jalan dan laluan untuk bot keluar dan masuk.

"Keadaan itu menyulitkan kami nelayan di sini untuk keluar menangkap dan mendaratkan hasil tangkapan kami.

"Bila air surut, kami tak boleh keluar ke laut dan tak dapat mendaratkan hasil tangkapan dan terpaksa menunggu dan bermalam di luar kuala sehingga air pasang semula," katanya.

Katanya, keadaan muara yang cetek itu turut menyebabkan berpuluh bot nelayan mengalami kerosakan akibat terlanggar beting pasir.

"Perkara ini sudah diadukan kepada Persatuan Nelayan Kawasan (PNK), namun sehingga kini tiada sebarang usaha daripada pihak kerajaan menyelesaikan masalah itu," katanya.

Seorang lagi nelayan, Shafir Puteh,63 mengakui antara faktor muara itu menjadi cetek disebabkan pasir dari luar muara ditolak masuk oleh ombak besar.

"Setiap kali musim tengkujuh, ombak besar akan membawa lebih banyak pasir dan sekiranya kerajaan lambat bertindak besar kemungkinan muara ini akan tertutup terus.

"Kita berharap kerajaan membina satu benteng pemecah ombak bagi mengatasi masalah itu kerana dengan benteng itu mampu menghalang ombak besar membawa pasir masuk ke muara," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Kebangsaan, (NEKMAT) Terengganu, Mat Yasim Mohammed berkata, masalah itu berada pada pengetahuan persatuan untuk diselesaikan.

Katanya, perkara itu akan dibangkitkan pada mesyuarat agung NEKMAT yang akan datang bagi membolehkan usul itu mendapat perhatian kerajaan negeri sebelum dibincangkan seterusnya di peringkat Kerajaan Pusat.

"Kita berharap perkara itu mendapat perhatian daripada kerajaan negeri dan pusat bagi mencari jalan penyelesaian kepada masalah itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Jun 2022 @ 1:10 PM
Keadaan muara cetek di Pantai Penunjuk sehingga ditimbuni pasir yang menyulitkan nelayan keluar ke laut. FOTO ROSLI ILHAM
Keadaan muara cetek di Pantai Penunjuk sehingga ditimbuni pasir yang menyulitkan nelayan keluar ke laut. FOTO ROSLI ILHAM