Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Jelajah Perpaduan Madani Negeri Sembilan di Paroi. FOTO AZRUL EDHAM
Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Jelajah Perpaduan Madani Negeri Sembilan di Paroi. FOTO AZRUL EDHAM
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Seremban: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang berlangsung 12 Ogos ini adalah tempat untuk mengajar pengkhianat dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Presiden PKR itu turut mengambil contoh dua kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) iaitu Ampangan dan Hulu Kelang yang masing-masing ditandingi oleh bekas ahli parti itu, Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

"Ampangan penting kerana ada pengkhianatan dari dalam PKR. Di mana-mana saya ajar, satu hal yang tidak boleh diizinkan pengkhianatan dalam perjuangan.

"Sebab itu saya dan (Pengerusi Barisan Nasional) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, akan ke Hulu Kelang sekali lagi pada hari Khamis malam untuk mengajar si pengkhianat, si kitol dan raja mendeliar.

"Dalam sejarah budaya Melayu, tidak akan ampunkan pengkhianat," katanya semasa berucap pada Jelajah Perpaduan Madani Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam ini.

Anwar sebagai Pengerusi Pakatan Harapan (PH) menerusi ceramahnya turut mempersoalkan mengapa Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) semasa memerintah kerajaan sebelum ini tidak membuat mesyuarat penyelarasan gaji dan elaun untuk penjawat awam, polis serta tentera.

Beliau turut menafikan bahawa pengumuman penyelarasan gaji dan elaun olehnya ada kaitan dengan PRN yang berlangsung di enam negeri.

"Ini bukan sebab PRN enam negeri, tidak. Dari awal saya ambil alih (kerajaan) bulan Januari, saya sebut kita kena kaji semula skim gaji dan pencen penjawat awam, polis, tentera dan semuanya.

"Soalnya mengapa Pas dan Bersatu tak buat mesyuarat ini?Mengapa tidak ada rancangan? Masa ada kuasa pasal apa tak tolong polis, tentera, pekerja dan penjawat awam. Ini soalnya," katanya.

Beliau berkata, pilihan raya ini juga adalah bagi memilih parti dan kerajaan yang mampu untuk melakukan perkara seperti itu.

Sebelum ini dilaporkan, kabinet akan membincangkan Dasar Gaji Progresif bagi memperhalusi pelaksanaannya secara berperingkat.

Anwar dilaporkan berkata, ia juga bagi meneroka keperluan memperuntukkan dana sebagai insentif dasar yang akan ditentukan mengikut kedudukan kewangan kerajaan dan keperluan dasar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Ogos 2023 @ 1:40 AM