ANWAR (tengah) ketika berucap pada Ceramah Mega Jelajah Perpaduan Madani Dewan Undangan Negeri (DUN) Chetok di Padang Awam, Taman Jintan malam ini. FOTO Bernama.
ANWAR (tengah) ketika berucap pada Ceramah Mega Jelajah Perpaduan Madani Dewan Undangan Negeri (DUN) Chetok di Padang Awam, Taman Jintan malam ini. FOTO Bernama.
Nor Fazlina Abdul Rahim dan Syaherah Mustafa


Tanah Merah: Kerajaan Perpaduan yang baru berusia lapan bulan jauh lebih baik berbanding tiga tahun pemerintahan kerajaan Perikatan Nasional (PN), kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, dalam tempoh itu pelbagai inisiatif dan tindakan dilaksana, termasuk meluluskan RM1.4 bilion untuk membaik pulih tandas sekolah dan peruntukan RM500 juta untuk menyelesaikan masalah air di Kelantan.

Selain itu katanya, kelulusan sebanyak RM200 juta diberi untuk menaik taraf kuarters polis selepas mendapati kediaman pasukan keselamatan itu agak daif.

"Saya juga meluluskan peruntukan RM40 juta untuk meningkatkan infrastruktur dan fasiliti terutama kuarters petugas Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) di Lahad Datu, memandangkan permohonan mereka dengan kerajaan sebelum ini tidak dilayan.

"Ini baru pemerintahan kita lapan bulan, macam-mana kita sudah buat dan bantu mereka yang memerlukan. Sedangkan ketika pemerintahan PN selama tiga tahun, apa mereka buat?

"Namun hari ini mereka mencaci, keji saya sebagai Perdana Menteri, macam-macam kata Anwar tipu, gelarkan saya dengan kata-kata kesat setiap kali siri ceramah mereka," katanya.

Beliau berucap pada di hadapan ratusan orang pada Jelajah Perpaduan Madani Kelantan di sini, malam ini, yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Mengulas lanjut Anwar berkata, pembangkang hanya pandai menggelar mereka lebih hebat namun, hakikatnya tidak sebagaimana yang didakwa.

"Justeru saya meminta semua rakyat, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu ini, buatlah keputusan yang bijak kerana ini menentukan masa depan anda.

"Buatlah keputusan yang boleh menyelamatkan anak-anak kita. Jangan fikir calon kerana calon hanya mewakili kita.

"Untuk pengundi di Kelantan, bandinglah dengan negeri-negeri lain seperti Perak, Johor, Selangor dan Pulau Pinang, kenapa mereka jauh lebih maju.

"Insya-Allah saya akan terus mentadbir dan menggalas tanggungjawab serta amanah yang diberi ini dengan sebaik mungkin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Ogos 2023 @ 11:55 PM