TIMBALAN Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Badrul Hisham Mohd (kiri) meninjau ladang melon manis ketika Majlis Penyerahan Sumbangan Program Inkubasi antara Agrobank dan UniSZa di tapak Farm Melon Manis Terengganu (MMT), UniSZA Kampus Besut, di sini, hari ini. FOTO Nurul Fatihah Sulaini
TIMBALAN Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Badrul Hisham Mohd (kiri) meninjau ladang melon manis ketika Majlis Penyerahan Sumbangan Program Inkubasi antara Agrobank dan UniSZa di tapak Farm Melon Manis Terengganu (MMT), UniSZA Kampus Besut, di sini, hari ini. FOTO Nurul Fatihah Sulaini
Nurul Fatihah Sulaini


Besut: Agrobank giat melahirkan lebih ramai usahawan siswazah melon manis di Terengganu melalui kerjasama strategik Program Inkubasi Usahawan Tanaman Melon Manis Terengganu dengan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, program itu berteraskan konsep seed funding oleh Agrobank untuk memberi peluang kepada usahawan yang terpilih mempelajari teknik tanaman selain membantu mereka menjana pendapatan secara berterusan.

"Program ini adalah inisiatif kali kedua dengan nilai keseluruhan peruntukan dana berjumlah lebih RM200,000 yang memberi manfaat kepada lebih 10 peserta.

Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin
Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin

"Melalui Agrobank Centre of Excellent (ACE), kami menerapkan minda keusahawanan kepada usahawan terpilih, membimbing mereka mahir menguruskan kewangan selain melengkapkan mereka dengan kemahiran pemasaran digital serta perancangan perniagaan," katanya ketika di Majlis Penyerahan Sumbangan Program Inkubasi antara Agrobank dan UniSZa di tapak Farm Melon Manis Terengganu (MMT), UniSZA Kampus Besut di sini, semalam.

Majlis dirasmikan Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Badrul Hisham Mohd.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UniSZA, Prof Dr Zuhairah Ariff Abd Ghadas, Pengarah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Terengganu, Adam Mamat, Ketua Pejabat Wilayah Negeri Terengganu Bank Negara Malaysia, Adlis Khairil Sazli Mohd Zaini dan Pengarah Jabatan Pertanian Terengganu, Datuk Zulkepli Amin Mat Jusoh.

Tengku Ahmad Badli Shah berkata, pihaknya turut bekerjasama dengan Ko Sahabat iaitu koperasi di bawah naungan UniSZA untuk memberi bimbingan serta latihan proaktif kepada usahawan berkenaan.

"Ia bagi memastikan projek ini tersusun rapi hingga mampu menghasilkan tanaman yang baik dari segi kualiti buah serta keuntungan hasil," katanya.

Beliau berkata, pada sesi pertama program itu tahun lalu, nilai keuntungan mencecah hampir RM50,000 selama enam bulan.

"Kita percaya tanaman melon manis ini berpotensi dikomersilkan ke peringkat lebih jauh hingga ke luar negara.

"Usaha sedang giat dilakukan untuk membantu usahawan ini dengan memasarkan hasil tanaman mereka ke luar negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Mei 2023 @ 11:49 AM