FOONG Hin (kanan) bersama  Tengku Ahmad Badli Shah  merasmikan acara perarakan kontinjen Kereta Antik Agrobank sempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-66. FOTO ROHANIS SHUKRI
FOONG Hin (kanan) bersama Tengku Ahmad Badli Shah merasmikan acara perarakan kontinjen Kereta Antik Agrobank sempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-66. FOTO ROHANIS SHUKRI
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Bagi menghayati Hari Kemerdekaan serta sambutan yang menggalakkan diterima tahun lalu, Agrobank sekali lagi menyertai perarakan dan perbarisan di Dataran Putrajaya dengan sedikit kelainan.

Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, ia menampilkan 30 kereta antik daripada pelbagai model dalam perarakan kali ini.

Katanya, dengan mengangkat tema 'Wajah Kita Harapan Negara', seramai 30 peserta yang terdiri kakitangan Agrobank akan turut memperagakan pakaian kebangsaan berbilang kaum dan bangsa di Malaysia seperti kaum Iban, Melayu Kelantan, Pahang, Selangor, kaum India dan Cina.

"Mereka akan menaiki kereta antik yang disediakan oleh kami dari pelbagai zaman sebelum kemerdekaan hingga selepas kemerdekaan," katanya kepada pemberita selepas majlis upacara flag off perarakan kontinjen Kereta Antik Agrobank di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin.

KAKITANGAN Agrobank mengibarkan Jalur Gemilang pada perasmian program acara perarakan kontinjen Kereta Antik Agrobank. FOTO ROHANIS SHUKRI
KAKITANGAN Agrobank mengibarkan Jalur Gemilang pada perasmian program acara perarakan kontinjen Kereta Antik Agrobank. FOTO ROHANIS SHUKRI

Mengulas lanjut, Tengku Ahmad Badli berkata, sepanjang bulan kemerdekaan ini, Agrobank sedang melaksanakan pelbagai inisiatif serta program bertemakan kemerdekaan khususnya buat pelanggan.

Katanya, antaranya ialah Campaign Snap & Win Merdeka Agrobank 2023, kempen pertandingan mengambil foto yang menarik bertemakan kemerdekaan dan perarakan Hari Kebangsaan.

Beliau berkata, pemenang akan dipilih berdasarkan jumlah likes tertinggi, gambar dan kapsyen yang menarik serta tarikh penyertaannya dibuka bermula 31 Ogos hingga 7 September 2023.

Selain itu, turut dilancarkan pada majlis ini adalah Kad Takaful Kasih Plus Edisi Merdeka Agrobank.

Tengku Ahmad Badli berkata, kad istimewa ini menampilkan pelbagai pelan perlindungan kemalangan diri bersama manfaat kematian akibat kemalangan, perbelanjaan pengebumian, hilang upaya kekal, perbelanjaan perubatan dan elaun hospital.

"Dengan bayaran sumbangan takaful serendah 3 sen sehari, pelan perlindungan 24 jam seluruh dunia ini merangkumi kemalangan menyeluruh sehingga RM306,000," katanya.

Beliau memaklumkan, sehingga kini kira-kira 28,000 pelanggan telah melanggan takaful ini daripada pelbagai pakej yang ditawarkan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Ogos 2023 @ 7:01 AM