AGROBANK berharap pengumuman Belanjawan 2023 dapat menambah lagi dana kepada usahawan agro muda.
AGROBANK berharap pengumuman Belanjawan 2023 dapat menambah lagi dana kepada usahawan agro muda.

AGROBANK berharap pengumuman Belanjawan 2023 dapat menambah lagi dana kepada usahawan agro muda.

Perkara ini kerana golongan muda dilihat semakin memilih kerjaya sebagai usahawan agro bersandarkan bahawa 40 peratus pelanggan pembiayaan bank berkenaan adalah dalam kalangan golongan muda.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, peratusan itu dilihat semakin meningkat dari tahun ke tahun, dan dijangka melepasi 50 peratus pada masa depan.

Jelasnya, pada tahun lalu, Agrobank memperkenalkan dana itu untuk membiayai usahawan agro muda hasil peruntukkan RM100 juta daripada kerajaan.

"Menerusi peruntukan itu, dana usahawan agro muda sudah dimanfaatkan sejumlah 60 peratus setakat ini. Peratusan itu turut menunjukkan bahawa golongan muda semakin berminat untuk menjadi pemain industri agro di dalam negara.

"Agrobank juga membuat program khusus untuk golongan muda dengan memberi pinjaman modal pusingan, misalnya dengan kadar yang cukup kompetetif sebagai usaha menggalakkan lagi mereka berkembang di dalam industri ini," katanya.

Tengku Ahmad Badli Shah turut mengharapkan pengumuman Belanjawan 2023 memberikan tumpuan dalam pembangunan strata pembiakan lembu yang terdiri daripada peringkat nukleus, pengganda dan komersial.

Beliau berkata, ia dalam mengurangkan kebergantungan terhadap pengimportan daging lembu atau lembu hidup untuk disembelih dengan menerusi insentif khas.

"Kami juga mengharapkan pengumuman yang memacu pengeluaran dan penggunaan jagung bijirin tempatan dalam kalangan petani dan pengilang makanan ternak dalam negara, melalui galakan insentif pengecualian cukai. Ini bagi memastikan kawalan harga ternakan kepada pengguna berpatutan dan mampu milik.

"Selain itu, memudah dan mempercepat proses permohonan dan kelulusan Kebenaran Merancang daripada pihak berkuasa tempatan, khususnya bagi sektor ternakan dan pertanian," katanya.

Tambahnya, Belanjawan 2023 juga diharap menggalakkan penggunaan teknologi pintar dan penerapan konsep ekonomi kitaran dalam melipat ganda hasil pertanian secara mampan melalui kempen dan program anjuran pelbagai agensi kerajaan, sekali gus menarik minat belia untuk menceburi bidang pertanian.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Februari 2023 @ 7:19 AM