JEFRIDDIN mengikut kreativiti menggunakan pelbagai medium untuk menghasilkan seni. FOTO ihsan Jefriddin Sulaiman
JEFRIDDIN mengikut kreativiti menggunakan pelbagai medium untuk menghasilkan seni. FOTO ihsan Jefriddin Sulaiman
Noor Hidayah Tanzizi


Beaufort: Guru agama menyerlahkan bakat melukis dengan berkarya mengikut kreativiti menggunakan pelbagai medium antaranya pemutar skru, pelekat tanda harga, benang dan pita pelekat.

Jefriddin Sulaiman, 38, dari Kampung Rancangan Klias, di sini, bijak berkarya menggunakan medium berbeza daripada kebiasaan untuk ekspresi dan interpretasi seni dalam menghasilkan karyanya.

Menurutnya, dia juga mencapai kepuasan dalam berkarya dengan menggunakan medium berkenaan dan mengakui suka bereksperimen dalam karya itu.

"Saya memilih menggunakan medium itu kerana saya suka membuat uji kaji dengan benda baru atau yang pernah orang tetapi saya belum buat. Saya juga mahu tengok orang lebih cenderung kepada medium apa," katanya.

Menurutnya, melukis adalah hobi yang diminati sejak kecil bagi mengisi masa lapang yang kini menjadi pendapatan sampingannya apabila ada yang menempah karya seninya itu.

"Seni lukisan yang dihasilkan ini adalah gabungan antara teknik 'stippling art' (teknik lukisan menggunakan titik), siluet, dan 'pop art' (seni lukis barat moden 60an hingga 70an menggunakan unsur tampak iklan atau bidang komersial).

"Saya selalunya menghasilkan karya potret dengan menggunakan pelbagai medium.

"Antara medium yang pernah digunakan seperti cermin, tanda harga, pembalut gelembung, benang, pita pelekat, pen marker, pensil warna, cap ibu jari, penyembur, tukul, paku, akrilik dan surat khabar," katanya sambil mengakui masih mengasah bakatnya.

Katannya, setiap karyanya dihasilkan mengikut medium berbeza seperti potret pelakon terkenal, Beto Kusyairy dihasilkan dengan menggunakan anak lesung batu, pemutar skru, kaca jenis plastik dan latar belakang kertas hitam.

"Proses penghasilannya bergantung kepada jenis lukisan dan medium digunakan. Kalau guna cermin kaca agak susah tetapi cermin plastik lebih mudah.

"Satu lukisan mengambil masa empat hingga enam jam dan biasanya saya mula kerja lukisan waktu pagi dan sambung selepas Isyak," katanya.

Jefriddin berkata, seni itu tidak sekali dihasilkan terus menjadi sebaliknya dia perlu dilakukan dua atau tiga kali baru memperoleh hasil terbaik dan ada karya yang sekali saja buat sudah menjadi.

Katanya, tiada warna yang digunakan dalam karya berkenaan dan warna yang terhasil adalah daripada pantulan cahaya saja.

"Lukisan yang dikongsikan di TikTok mendapat perhatian dan ada pengikut membuat tempahan. Saya kongsikan proses menghasilkan lukisan mengikut permintaan pengikut.

"Daripada situ juga ada yang membuat tempahan lukisan mengikut seperti dikongsikan di TikTok untuk dijadikan sebagai cenderahati," katanya.

ANTARA seni dihasilkan Jefriddin. FOTO ihsan Jefriddin Sulaiman
ANTARA seni dihasilkan Jefriddin. FOTO ihsan Jefriddin Sulaiman

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Mei 2023 @ 1:47 PM