GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Amin Jalil


Seremban: Sebuah kilang pengeluar barangan elektronik yang beroperasi di Taman Perindustrian Taman Tuanku Jaafar didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas kesalahan melanggar Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (Jas) Negeri Sembilan, Hamzah Mohamad berkata, hukuman itu diputuskan Hakim Mazni Nawi selepas Pengurus kilang, Muhammad Yasin Mohd Ghani selaku orang yang kena saman, membuat pengakuan bersalah atas dua pertuduhan.

"Pertuduhan dilakukan di bawah Peraturan 11(1)(b) dan Peraturan 12(b), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

"Keputusan analisa daripada Jabatan Kimia Malaysia Petaling Jaya menunjukkan bahawa premis terbabit melepaskan efluen perindustrian melebihi had kepekatan yang ditetapkan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, pendakwaan dijalankan oleh Pegawai Pendakwa Jabatan Alam Sekitar Negeri Sembilan, Zainoorliza Zainal Abidin dan Muhammad Yasin yang tidak diwakili peguam membayar denda seperti yang ditetapkan.

Rakyat di negeri ini boleh menyalurkan maklumat atau aduan berkaitan pencemaran alam sekitar melalui portal e-aduan.doe.gov.my atau https://[email protected]) dan talian bebas tol 1-800-88-27227.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mei 2023 @ 4:56 PM