GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Amin Jalil


Seremban: Sebuah kilang kotak didenda RM60,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas didapati melakukan kesalahan dan melanggar Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan, Azuri Azizah Saedon, berkata kilang terbabit yang beroperasi di PT No 3292 & 3293, Jalan Permata 2/2, Arab Malaysian Industrial Park, Nilai, di sini, menjalankan aktiviti membuat dan mencetak kotak.

Katanya, Hakim Mohd Sabri Ismail menjatuhkan hukuman itu selepas pengarah syarikat berkenaan selaku Orang Kena Saman (OKS) yang tidak diwakili peguam mengaku bersalah.

"Pertuduhan pertama membabitkan di bawah Peraturan 11(1)(a) Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009 kerana gagal mematuhi standard pelepasan bagi parameter BOD, pepejal terampai, nitrogen ammonia dan fenol seperti yang ditetapkan.

"Manakala pertuduhan kedua di bawah Peraturan 12(a) Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009 dengan membuat pelepasan parameter COD melebihi standad yang ditetapkan.

"Semua kesalahan dilakukan syarikat terbabit pada 4 Mei 2021," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, syarikat terbabit dijatuhi hukuman denda sebanyak RM30,000 bagi setiap pertuduhan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mac 2022 @ 7:04 PM