AMINUDDIN (tiga dari kiri) menyampaikan beg Tabung Haji kepada bakal haji. FOTO  Ihsan Pejabat MB.
AMINUDDIN (tiga dari kiri) menyampaikan beg Tabung Haji kepada bakal haji. FOTO Ihsan Pejabat MB.
Mohd Amin Jalil


Nilai: Bakal jemaah haji perlu mempersiapkan diri dengan sebaik-baiknya sebelum menunaikan ibadah haji kerana ia adalah perjalanan rohani yang memerlukan kekuatan fizikal, emosi dan ilmu pengetahuan.

Justeru, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kursus ibadat haji penting bagi memberi peluang kepada bakal haji mendapatkan kefahaman mengenai sebarang kemusykilan melalui pembimbing ibadat haji.

Pada masa sama, katanya, bakal haji turut diingatkan supaya tidak leka dan membuang masa dengan perkara tidak bermanfaat tetapi menggunakan tempoh berada di Tanah Suci untuk memperbanyakkan ibadat.

"Bersihkan niat dan gunakan tenaga serta masa untuk melaksanakan amal ibadah secukupnya bagi mendapatkan haji yang mabrur.

"Bakal haji juga perlu saling berganding bahu, tolong menolong dan hormat menghormati antara satu sama lain.

"Di Tanah Suci, kita akan berjumpa dengan ramai umat Islam berlainan bahasa, bangsa, budaya dan pelbagai karenah, namun ingatlah kita semua bersaudara dalam Islam, banyak bersabar dan bertolak ansur kerana semuanya itu adalah ujian daripada Allah SWT," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Penutup Kursus Perdana Haji Peringkat Negeri Sembilan Tahun 2023/1444H di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini.

Seramai 903 bakal haji dari seluruh Negeri Sembilan menghadiri kursus berkenaan yang diadakan selama dua hari anjuran Tabung Haji.

Tahun ini, seramai 31,600 bakal jemaah haji negara ini akan ke Tanah Suci iaitu kuota asal yang dibenarkan oleh Kerajaan Arab Saudi selepas dikurangkan hanya kepada 14,000 jemaah pada musim lalu akibat pandemik Covid-19.

Aminuddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Agama Islam negeri berkata, jemaah haji Malaysia dikenali sebagai mereka yang berilmu serta berdisiplin, dan prestasi ini perlu dikekalkan tahun ini.

"Tabung Haji akan memberikan khidmat terbaik kepada bakal haji selaras dengan reputasinya yang memenangi Anugerah Labbaitom untuk Perkhidmatan dan Program Bimbingan Haji Terbaik Dalam Dunia Islam daripada Kerajaan Arab Saudi.

"Saya yakin pencapaian ini bukan sahaja dibanggakan Tabung Haji, tetapi juga kebanggaan seluruh umat Islam di negara ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Mei 2023 @ 11:43 AM