JEMAAH menjalani latihan tawaf.
JEMAAH menjalani latihan tawaf.

Gombak: Seramai 1,400 peserta haji Wilayah Persekutuan mengikuti Kursus Perdana Haji Peringkat Wilayah Persekutuan 1436 H / 2015 di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), di sini, semalam.

Kursus Perdana Haji kendalian Tabung Haji (TH) bertujuan meningkatkan tahap pengetahuan haji berkaitan ibadah serta memberikan maklumat terkini sebelum berangkat ke Tanah Suci.

Beberapa peserta yang ditemui meluahkan rasa keterujaan kerana berpeluang mengikuti kursus itu serta tidak sabar untuk berangkat menunaikan ibadat haji.

Bakal haji Mohd Tahir Saad, 50, berkata, kursus itu memberi pengetahuan serta gambaran jelas proses ibadat haji yang bakal dilaksanakan.

“Sebelum ini sudah beberapa siri kursus dibuat tetapi membabitkan daerah dan tidak ramai seperti hari ini.

“Kursus yang dijalankan TH ini banyak membantu jemaah terutama yang kali pertama menjalankan ibadat haji,” katanya.

Manakala seorang lagi peserta kursus Aminah Mohd Taib, 56, berkata, mengikuti kursus seperti itu menambahkan lagi keterujaan dia untuk ke Tanah Suci.

“Syukur kerana berpeluang menjalankan Rukun Islam kelima ini walaupun pada usia lanjut.

“Banyak yang mahu didoakan di hadapan Kaabah nanti serta berharap mendapat haji yang mabrur,” katanya.

Menurut Aminah, peluang mengikuti kursus itu merapatkan ukhwah di antara peserta selain memberi keyakinan untuk beribadah.

Kursus Perdana Haji itu turut disertai 21 warga media tempatan yang bakal melakukan liputan haji pada musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Ogos 2015 @ 5:14 AM