PESERTA Kursus Perdana Haji melakukan simulasi tawaf.
PESERTA Kursus Perdana Haji melakukan simulasi tawaf.
Muhammad Saufi Hassan


Kuala Lumpur: Pengurusan jemaah haji termasuk modul bimbingan oleh Lembaga Tabung Haji (TH), sentiasa mendapat pengiktirafan oleh Kerajaan Arab Saudi sebagai yang terbaik di dunia. Antara aspek diberi penekanan adalah penyediaan kursus dan bimbingan kepada bakal haji.

Urusan Bimbingan Haji ini termasuk menyediakan para pengkursus dan pembimbing ibadah haji yang terlatih dan bertauliah, Muzakarah Haji, penerbitan buku, risalah dan video, siaran bimbingan haji di media elektronik dan cetak serta penganjuran pelbagai kursus haji untuk bakal haji.

Sebanyak empat peringkat kursus haji diadakan, selain penyediaan pembimbing haji di Tanah Suci.

Semua perkhidmatan bimbingan disediakan secara percuma oleh TH termasuk 17 siri Kursus Asas Haji yang dianjurkan setiap hujung minggu bertujuan memberi pendedahan serta pengetahuan berkenaan pelaksanaan ibadah haji.

Pengurus Besar Kanan Haji, Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, empat fasa kursus haji tersebut memberi pendedahan bukan saja dalam aspek teori dan video, malah latihan praktikal turut dilaksanakan.

Menurutnya, pendedahan itu perlu bagi membolehkan bakal haji yang akan menunaikan haji merasai sendiri pengalaman dan mempraktikkan teori yang sudah diajar oleh pengkursus haji semasa berkursus.

“Pada fasa pertama iaitu Kursus Asas Haji, bakal haji akan diberi pendedahan berhubung falsafah haji serta kaedah atau cara melaksanakan ibadah itu.

“Kursus ini merangkumi 17 siri semuanya dan dilaksanakan pada hujung minggu. Pada tahun ini, sebanyak 234 masjid terpilih di seluruh negara mengadakan Kursus Asas Haji ini yang juga turut terbuka kepada orang ramai,” katanya.

Syed Saleh berkata, ada masyarakat awam mengikuti kursus haji ini sejak beberapa tahun biarpun mereka masih belum tiba giliran dan menerima surat tawaran haji.

Beliau berkata, ini kerana mereka tahu kepentingan kursus yang dilaksanakan oleh TH serta usaha mereka dalam mempertingkatkan lagi kefahaman berhubung pelaksanaan ibadah haji serta mendapat maklumat terkini dalam persediaan awal mereka ke Tanah Suci.

“Kursus ini merangkumi pelbagai aspek dan bukan tertakluk kepada ibadah saja. Kita juga menerapkan berhubung kefahaman falsafah haji dan ilmu untuk melaksanakan haji. Pada fasa ini juga akan memberi pendedahan kepada jemaah menerusi slaid dan tayangan video untuk melihat sendiri situasi sebenar ketika ibadah haji berkenaan.

“Mungkin ada jemaah tidak boleh menggambarkan bagaimana suasana ketika haji itu nanti, jadi kita buat pendedahan dalam bentuk tayangan video,” katanya.

Katanya, menerusi kursus ini juga akan diterapkan berhubung penjagaan kesihatan, perjalanan bakal haji, cara kendalian diri dan keperluan yang harus dibawa semasa melaksanakan ibadah haji.

“Selepas itu, kami adakan fasa kedua kursus iaitu Kursus Intensif Haji yang akan diikuti bakal haji yang terpilih menunaikan haji pada tahun semasa sebelum berangkat ke Tanah Suci. Kursus ini diadakan selama dua hari dan memberi fokus praktikal ibadah haji serta ulang kaji ilmu ibadat itu.

“Kami akan menjemput bakal haji yang terpilih saja pada tahun itu untuk memberi fokus kepada mereka.

“Tamat kursus fasa kedua ini, kami adakan Kursus Khas Haji dan ia lanjutan Kursus Intensif Haji kepada kumpulan bakal haji yang dikenal pasti belum mantap kefahaman ilmu haji mereka melalui pencerapan diadakan oleh TH.

“Kursus ini diadakan selama satu hari dan penekanan semasa kursus adalah latihan praktikal dalam kelompok lebih kecil.

“Kemuncak kepada fasa kursus ini dengan penganjuran Kursus Perdana Haji diadakan sebelum bakal haji pergi ke Tanah Suci. Kami kumpulkan bakal haji tahun semasa di negeri masing-masing dan melaksanakan ibadah haji secara amali seperti tawaf, saie dan melontar serta berada beramai-ramai di satu tempat dari malam hingga keesokan hari,” katanya.

Menurutnya, jemaah bermalam di tempat berkursus dan latihan praktikal dilaksanakan mirip kepada pelaksanaan ibadah kemuncak haji sebenar supaya membolehkan bakal haji mendapat gambaran jelas.

Katanya, perkhidmatan TH tidak hanya terhenti menerusi sesi kursus saja, malah pembimbing ibadat haji turut disediakan di Tanah Suci dan menjadi rujukan jemaah jika berdepan masalah tertentu.

Menurutnya, TH menyediakan perkhidmatan Talian Ibadah (TAIB) kepada jemaah haji dan mereka boleh menghubungi talian berkenaan jika berdepan masalah sepanjang melaksanakan ibadah itu di Tanah Suci.

“Kami memang ada sediakan pembimbing haji di Tanah Suci dan untuk memudahkan lagi jemaah, kami sediakan Talian Ibadah ini. Jadi, jemaah tidak perlu patah balik ke lokasi penginapan berjumpa dengan pembimbing ibadat haji, sebaliknya hanya boleh menghubungi menerusi talian itu,” katanya.

Menyentuh soal subsidi ditanggung TH, Syed Saleh berkata, TH masih mengekalkan bayaran haji RM9,980 berbanding kos sebenar iaitu RM19,550 (2017) iaitu hampir 50 peratus subsidi daripada jumlah sebenar.

“Sejak 2009, kami mengekalkan bayaran haji bagi jemaah muassasah iaitu pada kadar RM9,980 dan TH menanggung subsidi RM9,570. Peruntukan bagi menampung subsidi ini diambil menerusi keuntungan perniagaan dilaburkan dalam sektor hartanah, industri, kewangan Islam dan sebagainya. Dari jumlah keuntungan ini kami subsidi kos haji, sekali gus memberi peluang kepada semua lapisan masyarakat menunaikan haji,” katanya.

Tambah Syed Saleh lagi, terdapat dua bahagian kos dalam pengurusan haji iaitu kos langsung dan kos tidak langsung.

Kos langsung adalah perkhidmatan langsung dilalui jemaah haji seperti tiket penerbangan, penginapan, sajian, pengangkutan dan perkhidmatan disediakan oleh Arab Saudi.

Bagi kos tidak langsung pula, Syed Saleh menerangkan kos ini membabitkan kursus haji, elaun petugas haji, kos perkhidmatan perubatan dan ubat-ubatan di Tanah Suci serta kos operasi stesen berlepas membabitkan jumlah keseluruhan RM55 juta.

“Kos itu dibelanjakan setiap tahun bagi menyediakan perkhidmatan terbaik kepada jemaah haji sekaligus memberi keselesaan dalam segenap aspek termasuk kebajikan, ibadah, keselamatan dan kesihatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Februari 2017 @ 9:21 AM