KEADAAN atap rumah penduduk yang rosak akibat ribut. FOTO Ihsan Pembaca
KEADAAN atap rumah penduduk yang rosak akibat ribut. FOTO Ihsan Pembaca
Safuri Kamarudin


DUA beranak berdepan detik cemas apabila atap rumah mereka tercabut diterbangkan angin akibat ribut, kira-kira 5 petang, hari ini.

Suridah Che Ahmad, 33, dari Kampung Mengkuang Hujung, Kuala Pegang, Baling, berkata, kejadian berlaku ketika angin bertiup kencang serta hujan lebat.

Menurutnya, ketika kejadian, dia dan anaknya, Sofia Dalisa Mohd Shukri, 5, di ruang tamu rumah selepas menonton televisyen.

“Dalam sekelip mata, angin kencang dari arah dapur serta-merta menerbangkan atap rumah saya.

“Saya hanya mampu menyebut nama Allah berulang kali kerana angin terlalu kencang selama kira-kira 15 minit,” katanya ketika dihubungi wartawan Harian Metro, hari ini.

ANTARA rumah penduduk yang terjejas akibat ribut. FOTO Ihsan Pembaca
ANTARA rumah penduduk yang terjejas akibat ribut. FOTO Ihsan Pembaca

Katanya, ketika itu dia segera menutup televisyen dan menuju ke dapur.

“Bagaimanapun, tiba-tiba atap (rumah) tercabut. Saya bergegas ke ruang tamu semula kerana bimbang kayu bahagian atas siling runtuh.

“Semua barangan di dapur basah terkena air hujan, termasuklah perabot kami,” katanya.

Surida berkata, ketika kejadian suaminya, Mohd Shukri Mahmud, 33, tidak ada di rumah kerana masih di tempat kerja.

“Mujurlah tidak ada kejadian buruk berlaku, meskipun banyak barang di rumah ini rosak.

“Saya bersyukur kami dua beranak selamat, namun masih terkejut dengan kejadian itu,” katanya.

Sementara dalam kejadian berkenaan, dua rumah penduduk di kampung itu turut mengalami kerosakan pada bahagian bumbung selepas diterbangkan angin.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dan kecederaan dilaporkan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mac 2019 @ 9:40 PM