SITI KHADIJAH menunjukkan keadaan rumahnya selepas ribut berkenaan.  FOTO Ramli Ibrahim
SITI KHADIJAH menunjukkan keadaan rumahnya selepas ribut berkenaan. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim


“KAMI tiga beranak amat takut apabila rumah seolah-olah bergegar sebelum atap tercabut,” kata Siti Khadijah Nawi, mangsa ribut di Felda Aring 1, di Gua Musang, semalam.

Rumah Siti Khadijah, 33, antara 10 rumah peneroka Felda Aring 1 yang dilanda ribut termasuk sebuah sekolah rendah yang tercabut atap, dalam kejadian pada jam 6 petang.

Ketika ditemui di rumahnya, Siti Khadijah berkata, ketika kejadian beliau dan dua anaknya sedang berehat di ruang tamu dan tiba-tiba berlaku ribut.

Menurutnya, dia bersama anak terpaksa berselindung di dalam bilik tidur sebelum ternampak atap dapur tercabut.

“Kejadian itu berlaku kira-kira 15 minit saja sebelum hujan lebat hingga membasahi ruangan dapur,” katanya.

Siti Khadijah berkata, beberapa jirannya turut lari keluar rumah kerana bimbang atap yang tercabut menimpa mereka.

Zunaidah Jusoh, 31, pula berkata, keadaan ketika itu amat menakutkan apabila rumahnya seperti bergoyang akibat dilanda angin kencang.

Berikutan itu, katanya, dia segera keluar dari rumah dan berselindung di rumah jiran.

“Saya masih trauma dengan kejadian itu tetapi bersyukur saya dan seorang anak berusia 10 tahun selamat walaupun bumbung rumah tercabut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Julai 2018 @ 1:42 PM