TIGA lelaki yang ditahan polis selepas berlumba motosikal di KM 85.5 Jalan Kluang-Kota Tinggi. FOTO Ihsan Polis
TIGA lelaki yang ditahan polis selepas berlumba motosikal di KM 85.5 Jalan Kluang-Kota Tinggi. FOTO Ihsan Polis
Mohamad Fahd Rahmat


Kluang: Tiga lelaki yang positif syabu ditahan polis selepas berlumba motosikal dan melakukan aksi superman di kilometer (KM) 85.5 Jalan Kluang-Kota Tinggi di sini, lewat malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, ketiga-tiga suspek berusia antara 20 hingga 22 tahun didapati melakukan aksi bersaing sesama sendiri dan aksi zig-zag yang membahayakan.

"Pada 11.40 malam, ketika Skuad 42, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang membuat pemantauan dan melihat dua motosikal dipandu ketiga-tiga suspek yang melakukan aksi superman.

"Ketiga suspek berhenti di tepi Jalan Seri Impian 8/1D, Bandar Seri Impian, sebelum ditahan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, saringan air kencing ke atas ketiga-tiga suspek mendapati mereka positif dadah methamphetamine.

"Motosikal Yamaha Y15ZR dan Honda Wave Alpha yang digunakan dalam aksi perlumbaan itu disita untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 April 2023 @ 1:12 PM