KEADAAN motosikal mangsa yang dilanggar gajah. FOTO MOHAMAD FAHD RAHMAT
KEADAAN motosikal mangsa yang dilanggar gajah. FOTO MOHAMAD FAHD RAHMAT
Mohamad Fahd Rahmat

Kluang: Seorang penunggang motosikal patah tangan kanan selepas terlanggar kumpulan gajah yang melintas jalan di kilometer 85 Jalan Kluang-Kota Tinggi di sini malam tadi.

Dalam kejadian itu, Mohamad Syamil Mohd Zainol, 23, yang sedang dalam perjalanan menghantar makanan dari Kluang ke Taman Seri Lambak turut menerima jahitan di dahi.

Bapa mangsa, Mohd Zainol Abu Bakar, 48, berkata dia menerima panggilan telefon daripada anak sulung daripada lima beradik itu kira-kira 8.55 malam ketika sedang berehat di kediamannya di Taman Seri Impian di sini.

"Sebaik tiba saya dapat menanyakan perihal kejadian kepada anak yang sudah berada di dalam ambulans.

"Dia memberitahu tidak perasan kumpulan gajah itu termasuk berapa jumlah bilangannya.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, dia terkejut kerana tiba-tiba ada gajah di depan mata dan tidak dapat mengelak dari merempuh haiwan itu," katanya ketika dihubungi.

Katanya, berterima kasih kepada orang ramai yang menyaksikan kejadian itu datang membantu anaknya termasuk menelefon talian kecemasan 999 sebelum ambulans tiba tak lama selepas itu.

Katanya, mujur kumpulan gajah berkenaan tidak mengamuk dan memijak anaknya kerana motosikal SYM ditunggangnya remuk.

Katanya, anaknya dijangka menjalani pembedahan memasukkan besi pada tangan kanannya Ahad ini di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom.

Mohd Zainol berkata, difahamkan kawasan berkenaan juga pernah berlaku kemalangan selain keadaan jalan yang gelap dan menyukarkan pemandangan pada waktu malam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 April 2022 @ 5:20 PM