MOHD Zubil. FOTO Ihsan APMM
MOHD Zubil. FOTO Ihsan APMM
Meor Riduwan Meor Ahmad

Kuala Linggi: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) tidak akan 'mengendurkan' kesiapsiagaan operasi pada musim perayaan bagi mengekang dan memerangi aktiviti jenayah rentas sempadan di perairan negara.

Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, malah operasi khas seperti Op Khas Pagar Laut dilancarkan bagi mengukuhkan kawalan keselamatan dengan meningkatkan kesiapsiagaan aset-aset, keanggotaan serta penguatkuasaan terutamanya di setiap 'titik panas' seluruh negara.

Katanya, langkah itu bagi memastikan tindakan pencegahan efektif dilaksanakan supaya keselamatan dan kesejahteraan perairan negara terus terpelihara.

"Umumnya pelaku jenayah beranggapan penguatkuasaan undang-undang pada musim perayaan agak longgar kerana sebahagian besar petugas keselamatan bercuti dan meraikan perayaan.

"Situasi ini seringkali diambil kesempatan oleh sindiket dan penjenayah dengan melakukan aktiviti penyeludupan, pencerobohan, penipuan serta lain lain jenayah berkaitan melalui jalan laut.

"Menyedari ancaman yang bermusim, serta berdasarkan trend aktiviti jenayah di musim perayaan Aidilfitri sebelum ini, APMM tidak akan mengendurkan kesiapsiagaan operasi dan akan melancarkan Operasi Khas Pagar Laut siri 1/2022 bermula 19 April hingga 17 Mei 2022 di seluruh perairan Malaysia," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, Op Khas Pagar Laut dilaksanakan setiap tahun bermula 2016 berikutan cabaran dan ancaman yang berbeza antara negeri-negeri.

"Sebagai contoh, negeri-negeri di sepanjang Selat Melaka berhadapan dengan aktiviti penyeludupan dadah, pendatang asing tanpa izin (Pati) dan kontraband, manakala di Pantai Timur terancam dengan

aktiviti pencerobohan bot nelayan asing.

"Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan turut berhadapan dengan ancaman penyeludupan kontraband, Pati, dadah serta barang kawalan bersubsidi," katanya.

Mengulas lanjut Mohd Zubil berkata, menerusi Operasi Khas Pagar Laut siri 1/2021 tahun lalu, pihaknya merekodkan 21 tangkapan membabitkan Pati, penyeludupan dadah, kontraband, ketum dan lain-lain dengan nilai rampasan dianggarkan RM 38.8 juta.

"Bagi tahun ini setakat 8 April lalu, sebanyak 257 kes tangkapan atas pelbagai kesalahan termasuk penyeludupan dadah, kontraband dan pencerobohan bot nelayan asing," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 April 2022 @ 8:48 AM