Mohd Amin Jalil


Seremban: DAP menegaskan parti itu kekal dengan pendirian mahu bertanding mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka diadakan sekitar Julai depan.

Setiausaha Agong DAP, Anthony Loke berkata, tiada perubahan atau kajian semula kerana pendirian itu selari dengan prinsip yang dipersetujui dalam kalangan parti-parti yang berunding.

Katanya, apabila memasuki perkara membabitkan perunding kerusi tentunya terdapat parameter dan prinsip yang harus dipersetujui.

"Antara prinsip asas yang dipersetujui ialah kerusi yang dimenangi (PRU-14) itu akan disandang oleh parti yang menang, umpamanya kalau kerusi itu dimenangi Barisan Nasional (BN), kita (DAP) tak boleh kita minta kerusi itu dan begitulah sebaliknya.

"Jika ini berlaku, ia akan menimbulkan masalah. Dalam hal ini kita hormati iaitu kerusi penyandang akan terus disandang oleh parti yang menang.

"Untuk kerusi yang tidak dimenangi oleh Pakatan Harapan (PH) dan BN, itu kita berunding, umpamanya kerusi di Kedah, Kelantan dan Terengganu, yang memerlukan rundingan antara PH dengan BN.

"Jika ada apa-apa pandangan atau sebagainya, perkara itu boleh dirujuk kepada kepemimpinan pusat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pemukiman Persediaan PRN DAP Negeri Sembilan, di sini, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha DAP Negeri Sembilan, Cha Kee Chin.

Beliau diminta mengulas mengenai hasrat BN Negeri Sembilan yang meminta tambahan dua kerusi daripada 16 kerusi yang dimenangi gabungan itu pada pilihan raya negeri 2018.

Sebelum ini, Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias menyatakan hasrat itu kepada Pengerusi PH negeri yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun bahawa gabungan itu inginkan tambahan dua kerusi dengan tujuan mendapatkan keseimbangan dalam setiap DUN.

Mengulas lanjut, Loke yang juga Menteri Pengangkutan dan Pengerusi DAP Negeri Sembilan berkata, berbanding situasi di lima negeri lain, Negeri Sembilan keadaan lebih dinamik kerana tiada pembangkang.

Beliau berkata, semua 36 kerusi DUN adalah di bawah penyandang ketika ini iaitu parti dalam Kerajaan Perpaduan.

"Bagi kita keadaan itu (Negeri Sembilan) mudah untuk diselesaikan, jadi pandangan dari pihak BN dan sebagainya, itu boleh dirujuk kepada kepimpinan pusat parti masing-masing," katanya.

Mengulas mengenai kemungkinan akan terdapat pihak yang tidak berpuas hati atau berkecil hati dalam isu pembahagian kerusi dalam kalangan Kerajaan Perpaduan, Loke berkata, perkara itu tidak timbul sama sekali.

Tegasnya, semua pihak perlu berlapang dada dan tidak boleh berkecil hati kerana pucuk pimpinan masing-masing amat memahami keadaan terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 April 2023 @ 4:25 PM