Siti Aminah Mohd Yusof


Balik Pulau: DAP mengesahkan akan meletakkan calon di semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang disandang parti itu pada pilihan raya negeri (PRN) bulan depan.

Setiausaha Agungnya, Anthony Loke berkata, secara keseluruhan DAP memenangi 48 kerusi DUN di empat negeri pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.

Beliau berkata, kerusi-kerusi DUN berkenaan termasuk sejumlah 19 kerusi di Pulau Pinang, Selangor (16), Negeri Sembilan (11) dan Kedah (dua).

"Jumlah kerusi memang tak berubah besar, jadi kita akan bertanding di semua (kerusi) penyandang iaitu kerusi-kerusi yang kita telah menang.

"Soal calon akan diumumkan kelak dan senarai calon saya sendiri masih belum terima pada peringkat negeri," katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Lesen Memandu Program MyLesen B2 di sini, hari ini.

LOKE pada sidang media selepas majlis Penyerahan Lesen Memandu Program MyLesen (B2) Peringkat Pulau Pinang di Pusat Latihan Memandu Balik Pulau. FOTO Mikail Ong
LOKE pada sidang media selepas majlis Penyerahan Lesen Memandu Program MyLesen (B2) Peringkat Pulau Pinang di Pusat Latihan Memandu Balik Pulau. FOTO Mikail Ong

Loke memaklumkan pada hari ini, beliau turun ke Pulau Pinang hanya untuk menjalankan tugas rasmi sebagai Menteri Pengangkutan dan tidak dijadualkan menghadiri sebarang mesyuarat bersama pimpinan parti.

"Saya akan datang lagi (ke Pulau Pinang) sebelum hari penamaan calon. Ada tiga minggu lagi jadi bila-bila masa akan diumumkan (calon), dalam tiga minggu ini saya akan kerap ke Pulau Pinang," katanya.

Selain Pulau Pinang, lima negeri yang akan mengadakan PRN secara serentak 12 Ogos ini ialah Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu dengan tarikh penamaan calon ialah pada 29 Julai ini manakala undi awal ditetapkan 8 Ogos.

Pakatan Harapan (PH) memenangi 37 daripada 40 kerusi DUN Pulau Pinang pada PRU-14 dengan 12 daripadanya dimenangi PKR selain Amanah (dua) dan empat kerusi bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bersatu yang suatu ketika dulu menjadi sebahagian daripada PH.

Barisan Nasional (BN) menang dua kerusi iaitu Sungai Dua dan Permatang Berangan, manakala Pas mempunyai satu kerusi iaitu Penaga.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Julai 2023 @ 1:53 PM