LOKE (kanan) dan Cha. FOTO Mohd Amin Jalil
LOKE (kanan) dan Cha. FOTO Mohd Amin Jalil
Mohd Amin Jalil


Seremban: Setiausaha Agung DAP yang juga penyandang kerusi Parlimen Seremban, Anthony Loke mengesahkan akan mempertahankan kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Beliau turut mengumumkan Setiausaha DAP Negeri Sembilan, Cha Kee Chin, yang juga penyandang kerusi Parlimen Rasah, turut mempertahankan kerusi berkenaan.

"Dengan sukacitanya, saya mengumumkan calon kerusi P128 Seremban adalah saya sendiri dan kerusi P130 Rasah, Cha Kee Chin.

"Jawatankuasa Pemilihan Calon DAP sudah sebulat suara memberi kepercayaan kepada Kee Chin untuk mempertahankan kerusi itu.

"Di Negeri Sembilan, kita selesaikan isu calon awal-awal dan juga jentera PRU-15 untuk kita pertahankan kerusi Seremban dan Rasah.

"Kita bukan sahaja perlu menang di kedua-dua Parlimen ini, tapi ahli DAP ada tanggungjawab untuk bantu rakan kita bagi pertahankan Port Dickson, Tampindan Kuala Pilah sebab Kuala Pilah bukan dimenangi BERSATU tetapi dimenangi atas tiket Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya yang lalu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Bilik Gerakan Utama (BGU) Parlimen Rasah, di Seremban 2, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi DAP Negeri Sembilan S Gunasekaran dan barisan kepemimpinan DAP Negeri Sembilan.

Siew Fook yang juga Pengerusi DAP Negeri Sembilan berkata, parti itu menyasarkan untuk mempertahankan kelima-lima kerusi Parlimen di Negeri Sembilan selain berharap dapat memenangi Parlimen Jelebu, Jempol dan Rembau.

Dalam pada itu, beliau berkata, DAP akan mengumumkan calon parti itu secara berfasa mulai hari ini.

Menurutnya, ia berikutan terdapat beberapa negeri yang mana calonnya belum dimuktamadkan lagi, namun secara keseluruhannya calon DAP akan terdiri daripada pelbagai kaum.

"Tapi sudah tentu akan ada muka baharu termasuk mereka yang menggantikan calon sebelum ini yang sudah menyatakan kesediaan untuk tidak bertanding seperti Lim Kit Siang, selain beberapa muka lama yang dikekalkan.

"Kerusi Bangi di Selangor dan Batu Kawan Pulau Pinang akan ada muka baharu selepas penyandang di kerusi masing-masing menawarkan tidak mahu bertanding," katanya.

Sementara itu, Kee Chin berkata, pihaknya bersedia untuk mempertahankan kerusi itu biarpun pada pilihan raya kali ini mencatatkan pertambahan jumlah pengundi sebanyak 50 peratus.

Pada PRU-14, Loke meraih majoriti 30,694 undi manakala Kee Chin 46,867 undi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Oktober 2022 @ 4:45 PM