Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Sebuah syarikat memproses sarung tangan getah didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan melepaskan efluen perindustrian melebihi had piawaian ditetapkan Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974 ke perairan pedalaman, tahun lalu.

Syarikat Tan Sin Lian Industries Sdn Bhd yang diwakili Pengurus Sumber Manusianya, Azmi Sulaiman, 51, membuat pengakuan itu sejurus dibacakan pertuduhan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Nariman Badruddin.

Nariman selepas menimbangkan rayuan, fakta kes dan hujahan pegawai pendakwa, memutuskan syarikat didenda RM15,000 atau dua bulan penjara bagi setiap pertuduhan, jika gagal membayar. Syarikat membayar denda itu.

Mengikut pertuduhan pertama, syarikat itu didapati melepaskan efluen perindustrian melebihi had, iaitu kandungan BOD (Keperluan Oksigen Biokimia) berkepekatan 28.7 miligram per liter (mg/l) melebihi had dibenarkan iaitu 20 mg/l; kandungan pepejal terampai 480 mg/l melebihi had 50 mg/l dan kandungan O&G (minyak dan gris) 12.6 mg/l melebihi 1.0 mg/l.

Pertuduhan adalah mengikut Peraturan 11 (1) (a) Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009 AKAS 1974 [Akta 127], yang mana sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan kedua, syarikat didapati melepaskan efluen iaitu kandungan COD (Keperluan Oksigen Kimia) yang mempunyai kepekatan 203.7 mg/l, melebihi had dibenarkan 80 mg/l dan melakukan kesalahan mengikut Peraturan 12 (a) peraturan dan akta sama.

Kedua-dua kesalahan didakwa dilakukan di premis kilang di Lot 27-29, Jalan Industri 7, Kawasan Perindustrian Alor Gajah pada 14 Februari 2021, kira-kira jam 4 hingga 5.30 petang.

Mengikut fakta kes pemeriksaan dilakukan Penolong Pegawai Kawalan Alam Sekitar, Noor Azizah Ismail bersama dua penolong jurutera mendapati terdapat pelepasan efluen perindustrian di takat pelepasan akhir sistem pengolahan efluen di premis kilang dan empat sampel diambil untuk diuji di Jabatan Kimia Malaysia.

AZMI mewakili Tan Sin Lian Industries Sdn Bhd mengaku bersalah atas dua pertuduhan melepaskan efluen perindustrian melebihi had piawaian ditetapkan. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
AZMI mewakili Tan Sin Lian Industries Sdn Bhd mengaku bersalah atas dua pertuduhan melepaskan efluen perindustrian melebihi had piawaian ditetapkan. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad

Keputusan analisa pada 18 Mac 2021 menunjukkan syarikat itu melepaskan efluen melebihi had dibenarkan seperti mana pertuduhan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Jabatan Alam Sekitar, Norsora Mohd Jadi berhujah supaya hukuman setimpal dikenakan mengambil kira ia kesalahan berulang oleh syarikat.

Katanya, Tan Sin Lian Industries Sdn Bhd pernah didenda dua kali oleh mahkamah atas kesalahan sama iaitu pada 6 Julai 2020 sebanyak RM20,000 dan RM18,000 pada 18 Mei 2021.

"Kilang ini memproses sarung tangan getah dan dalam siri proses banyak air digunakan dan menghasilkan efluen.

"Biarpun ada sistem pengolahan namun ia gagal merawat efluen dilepaskan. Saya percaya jika tidak dirawat efluen ini akan masuk ke Empangan Durian Tunggal yang membekalkan air bersih untuk penduduk di Alor Gajah.

"Dalam kes ini aktiviti kilang menghasilkan efluen pepejal terampai berkepekatan tinggi sebanyak 480 mg/l melebihi sembilan kali ganda had dibenarkan selain kandungan minyak dan gris serta COD masing-masing 12 kali ganda dan dua kali ganda had dibenarkan sehingga boleh menjejaskan loji rawatan air," katanya.

Peguam HC Yap yang mewakili syarikat memohon denda ringan atas alasan pengakuan bersalah menjimatkan masa dan kos semua pihak termasuk mahkamah untuk menjalankan perbicaraan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mei 2022 @ 4:53 PM